Bersedia untuk ‘gelombang hijau’ kembali melanda, kata penganalisis

0
204

PENGANALISIS yakin “gelombang hijau” wujud dalam PRU15 November lalu dan mungkin kembali melanda PRN enam negeri esok.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara dan Asrul Hadi Abdullah Sani dari Bower Group Asia senada “gelombang hijau” wujud, walaupun ada yang skeptikal dan berkata sebaliknya.

“Tiada siapa menjangkakan gelombang seperti itu sebelum PRU lalu, tetapi ia berlaku dan tiada tanda akan surut,” kata Oh kepada FMT.

Beliau berkata, kebangkitan semula gelombang itu akibat “peningkatan etnosentrik Melayu dan kebangkitan semula politik Islam di seluruh dunia”.

Istilah “gelombang hijau” dicipta ahli politik bagi menggambarkan kebangkitan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15, di mana PAS memenangi 43 kerusi Parlimen, paling banyak dalam kalangan semua parti, manakala Bersatu menguasai 25 kerusi.

Bagi pihak kerajaan, DAP memenangi 40 kerusi, PKR (31) dan UMNO (26).

Bagaimanapun, bukan semua yakin dengan kewujudan “gelombang hijau”.

Khairy Jamaluddin, sebagai contoh berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergelut mendapat sokongan orang Melayu disebabkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kurang hala tuju ekonomi pentadbirannya berbanding gelombang hijau.

“Apa yang berlaku di Malaysia sekarang kurang dipengaruhi ‘gelombang hijau’ ekstremis berbanding rasa tidak puas hati komuniti Melayu yang melangkaui isu 3R (raja, agama dan kaum),” kata Khairy dalam artikel di portal Singapura, Fulcrum pada Jun lalu.

Kemudian, bekas ketua Pemuda UMNO itu menerusi podcast berkata, istilah “gelombang hijau” umpama “siulan anjing” yang digunakan untuk menakutkan bukan Melayu dan Melayu sederhana.

Asrul berkata, apa yang menjadikan “gelombang hijau” fenomena politik pada PRU15 ialah bagaimana UMNO tumbang di kerusi Melayu luar bandar, yang merupakan kubu tradisinya.

“Tetapi, gelombang ini hanya berlaku di kerusi majoriti Melayu,” katanya sambil menambah perkara sama akan berlaku kali ini.

Azmi berkata, “gelombang hijau” hanya melanda tiga negeri pimpinan PAS, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Ya, ia akan memberi impak besar di tiga negeri PAS, khasnya Kelantan dan Terengganu. Kemungkinan ia menyebabkan Barisan Nasional kalah semua kerusi agak tinggi dan mungkin di Kedah juga. Tetapi, ia kurang memberi kesan di Pulau Pinang, Negeri Sembilan atau Selangor.”

Oh berkata, PN dilihat sekurang-kurangnya boleh memecahkan majoriti dua pertiga Pakatan Harapan-BN di Selangor dan Negeri Sembilan.

Ditanya sama ada kerajaan perpaduan sudah melakukan secukupnya untuk menarik undi Melayu-Islam, katanya “tentunya tidak”.

“Kerajaan perpaduan menumpukan kebimbangan sosioekonomi pengundi ini, tetapi pertempuran sebenar adalah dalam pemikiran mereka dari segi agama.”

Azmi berkata UMNO, PKR dan Amanah tidak melakukan secukupnya untuk mencabar naratif “DAP terlalu dominan”.

Peranan pengundi muda dalam gelombang hijau

Ditanya sama ada belia akan menjadi “broker kuasa” dalam PRN, Azmi berkata, PRU15 menunjukkan pengundi muda lebih cenderung mengambil risiko menyokong PN kerana mereka tidak terikut dengan kesetiaan kepada parti seperti UMNO berbanding generasi lebih tua.

“Tetapi, persoalannya adakah mereka akan keluar mengundi?” katanya merujuk peratusan keluar mengundi kumpulan itu sangat rendah pada PRU15 dan biasanya ia lebih rendah untuk PRN.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, seramai 661,905 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun berdaftar untuk mengundi pada PRN enam negeri, tetapi ia hanya merangkumi 6.8% daripada keseluruhan pengundi layak (9,773,571).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here