Loke takut nak lawan ‘maharaja DAP’ – Ramasamy balas kritikan

0
158

SELEPAS keluar dari DAP pagi ini, P Ramasamy tidak berlapik dalam menyuarakan kritikannya terhadap setiausaha agung parti, Anthony Loke.

Ia selepas Loke mendakwa bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu “menunggang” DAP demi kuasa dan jawatan, dan tidak menyesal menggugurkan Ramasamy daripada menjadia calon dalam PRN ini.

Membalas kenyataan itu, Ramasamy mendakwa Loke tiada keberanian untuk menyatakan keadaan sebanar atau melawan “maharaja”.

“Loke tidak cukup jujur untuk akui tindakan menggugurkan enam penyandang adalah penyingkiran politik yang dimulakan ‘maharaja’ dan disokong jawatankuasa pusat lima anggota yang diketuainya,” katanya dalam kenyataan, lapor MalaysiaKini.

Walaupun Ramasamy tidak menamakan secara khusus siapa yang dirujuknya sebagai “maharaja”, yang didakwanya punca segala masalah dalam DAP, dia dipercayai merujuk kepada Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Adun Perai selama tiga penggal itu juga menuduh Loke sebagai tidak berani untuk membangkitkan isu berkaitan kaum bukan Melayu.

“Seseorang yang tidak berani untuk menzahirkan perkara berkaitan hak orang bukan Melayu masih ada keberanian untuk bercakap tentang keikhlasan dan kesetiaan kepada parti.

“Pendek kata, dia tidak tahu erti keikhlasan. Mungkin dia belum cukup belajar.

“Dia tidak ada keberanian untuk menentang kehendak sesuka hati ‘maharaja’ dalam DAP. Dia terikat dengannya selama-lamanya,” tambahnya.

Ramasamy, yang menyifatkan kepimpinan Loke sebagai “tidak efektif”, mendakwa menteri pengangkutan itu telah meletakkan DAP sama taraf dengan MCA dan MIC.

“Loke bukanlah pemimpin DAP yang dahulunya bertenaga, tetapi pemimpin kepada parti yang telah mendapat gelaran MCA 2.0,” katanya lagi.

Dalam sidang akhbarnya pagi ini, Ramasamy, yang menyertai DAP pada 2005, berkata “maharaja” dan puaknya mengetepikan kalangan yang dianggap bersekutu dengan ketua menteri sementara Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Sebelum ini, ahli politik berusia 74 tahun itu berkata dia tidak bimbang digugurkan daripada senarai calon tetapi kecewa bagaimana keputusan itu disampaikan kepadanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here