Kubu kuat PH Selangor, pelawak S Gana tetap semangat kempen di Subang Jaya

0
243

Pelakon dan pelawak S Gana yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Subang Jaya di Selangor dalam pilihan raya negeri (PRN) tetap bersemangat walaupun mengakui kerusi itu merupakan kubu kuat PH.

Katanya, walaupun maklum dengan tanggapan bahawa pengundi di kawasan itu mungkin ragu-ragu dengannya, dia mendapati beberapa pengundi yang ditemuinya menyambutnya dengan mesra.

“Saya telah diberi mandat oleh pucuk pimpinan PN untuk bertanding di kerusi ini. Walaupun orang ramai mengatakan pengundi bandar ragu-ragu dengan PN, saya masih nampak muka mesra ketika bertemu dengan pengundi di sini.

“Mereka tidak menolak risalah saya dan sedia mendengar dengan saya,” katanya ketika ditemui semasa lawatan berjalan kaki.

Gana berdepan saingan tiga penjuru dengan penyandan kerusi itu Michelle Ng dari Pakatan Harapan (PH) dan calon Muda Zayd Shaukat Ali.

Pada PRU ke-14, Ng memenangi kerusi itu dengan majoriti 48,272 undi. Kerusi itu mempunyai 74,023 pengundi.

Sudah biasa bergaul

Kata Gana, dia boleh berinteraksi dengan pengundi kerana perwatakannya yang mudah bergurau.

Selain itu, katanya, anaknya yang boleh bercakap dalam bahasa Mandarin juga turut membantunya.

“Ini membantu saya untuk melibatkan diri dengan mereka tentang isu-isu yang mempengaruhi mereka di sini dan harapan mereka untuk masa depan,” katanya sambil menunjuk anak keduanya Tharen Vishal, 19.

Kata Vishal, dia selalunya hanya mengikut ayahnya apabila dia berkempen dan akan membantu ayahnya apabila bertemu dengan pengundi yang sukar bercakap dalam bahasa Melayu atau Inggeris.

“Saya akan bercakap dengan mereka dalam bahasa Mandarin.

“Pada mulanya, mereka terkejut mendengar saya bercakap Mandarin, tetapi kemudian, mereka mula berkongsi isu yang membimbangkan mereka,” kata Vishal.

Sementara itu, Gana berkata isu utama yang diketengahkan penduduk di Subang Jaya ialah infrastruktur, kebersihan dan masalah lalu lintas.

“Saya sudah biasa bergaul rapat dengan orang ramai dalam pelbagai watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini, sebagai pelakon, pelawak, dan kini sebagai ahli politik.

“Saya percaya orang ramai berkongsi masalah mereka dengan saya, kerana mereka percaya saya boleh membantu menangani isu mereka jika saya dipilih,” katanya.

Gana merupakan pelakon popular yang membawa watak hero dan komedi dalam filem tempatan seperti Kampung Kuttua, Pattanathu Thaatha dan turut muncul dalam pelbagai siri Tamil dan produksi tempatan.

Dia terkenal dengan filem Appalam arahan Afdlin Shauki. Filem itu memenangi Filem Terbaik di Festival Filem India Malaysia 2012.

Galak orang muda daftar sebagai PACA

Sementara itu, Gana menepis tanggapan bahawa kemasyhurannya sebagai seorang artis adalah faktor pendorong untuknya berkempen di kerusi itu.

“Kebanyakan pengundi di sini tidak pernah mendengar tentang saya atau menonton filem saya. Sudah tentu, ada seorang dua yang tahu tetapi majoriti tidak mengenali saya.

“Jadi, tidak benar apabila orang kata kemasyhuran sebagai pelakon membantu,” katanya yang juga menghasilkan animasi Tamil pertama Malaysia Estate Boy.

Mengakui dia muka baru buat pengundi Subang Jaya, Gana berkata bahawa dia memanfaatkan interaksi di media sosial, termasuk mesej langsung dan komen untuk siarannya.

“Sesetengah komen sangat mengecewakan dan menyakitkan hati. Saya cuma nak cakap, tolong jangan pandang rendah sesiapa dan jangan hanya jadi panglima keyboard. Komen di media sosial tidak mengapa tetapi saya hanya meminta untuk mengulas secara adil.

“Tanya diri anda, sebagai pengundi, apa yang anda mahu saya lakukan? Apakah isu yang anda mahu saya bincangkan? Dan komen kemudian,” katanya.

Dia juga menggalakkan golongan muda mendaftar sebagai pemerhati atau ejen pengiraan undi (PACA) bagi memahami proses pilihan raya dengan lebih baik.

“Datang dan lihat sendiri bagaimana sistem ini berfungsi. Fahami dan kemudian anda boleh mencadangkan bagaimana untuk menjadikan keadaan lebih baik untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here