Subsidi lesen motosikal, inisiatif sewa beli rumah antara tawaran PN N Sembilan

0
128

SUBSIDI lesen motosikal kelas B2 sebanyak RM300 antara yang terkandung dalam lapan tawaran PN jika berjaya mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan nanti.

Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi PN Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada majlis pelancaran manifesto untuk negeri itu yang diadakan scara dalam talian hari ini.

“Kami akan menyediakan subsidi lesen motosikal untuk B2 bernilai RM300,” katanya.

Subsidi itu akan diberikan kepada belia yang layak untuk kali pertama sebagai usaha bagi merancakkan lagi penyertaan dalam ekonomi gig.

Ahmad Faizal berkata, PN juga akan memperkenalkan inisiatif rumah sewa untuk beli “rent to own” dengan kadar berpatutan kepada belia yang layak termasuk pasangan baru berkahwin.

Tawaran itu terkandung dalam tonggak kedua daripada lapan tawaran yang dikemukakan kepada pengundi di Negeri Sembilan.

Melalui manifesto itu, tawaran kedua yang memberikan fokus kepada kumpulan belia itu turut menawarkan dana “Nismilan Mudo” sebanyak RM2 juta setahun dan pembangunan e-sukan di setiap daerah dengan peruntukan RM1juta.

Bagi sektor pendidikan pula, PN memberi tumpuan kepada penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan sekolah agama serta subsidi tambang bas sekolah sebanyak 20 peratus.

“Tonggak yang ketiga adalah tonggak sangat penting kepada kita ibu bapa iaitu, merakyatkan pendidikan.

“Kami akan menyediakan peruntukan bagi peningkatan taraf sekolah agama rakyat yang berdaftar di Negeri Sembilan, kami akan memperkasakan pendidikan TVET termasuk alat bantuan pengajaran dan pembelajaran,” katanya lagi lapor Malaysiakini.

Katanya lagi, PN juga merancang untuk memperuntukkan RM1.5 juta kepada pemberian Biasiswa Anak Sekolah Nismilan (BASN)

Antara tonggak atau tawaran lain yang ditawarkan PN adalah Memperkasakan Wanita Unggul, Mempertingkat Kesejahteraan Sosial serta Memperkukuh Jaringan Infrastruktur dan Keselamatan .

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here