MCW gesa siasat program pemberian sumbangan di DUN Jeram

AKTIVITI kempen seperti penjamuan makanan dan minuman serta pemberian hadiah sama ada dalam bentuk barangan atau wang, untuk mempengaruhi pengundi adalah kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata pihaknya berharap pihak berkuasa akan segera menjalankan siasatan terperinci mengenai video tular penduduk kampung menerima sumbangan makanan diberikan sebuah parti politik ketika berkempen bagi meraih undi.

Video tular berdurasi hampir 15 saat itu viral selepas seorang wanita mendakwa menerima sumbangan makanan asas seperti beras dan minyak daripada sebuah parti politik di Jeram,Selangor pada Sabtu.

“Rasuah bukan hanya pada wang ringgit sahaja tetapi sebarang bentuk pemberian. Kita sebagai rakyat memerhati segala aktiviti dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) dan berharap pihak berkuasa segera dapatkan bukti dan tunjuk kepada rakyat.

“Jika rakyat nampak atau mengesyaki sesuatu di luar kebiasaan, mereka boleh rakam dan lapor kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya. Sebagai calon, perlu juga tahu perkara asas do and don’t dalam berkempen,” katanya ketika dihubungi SatuBerita hari ini.

Menurut Jais, bagi membendung isu rasuah yang semakin ‘genting’ MCW berhasrat mewujudkan  program ‘Paku ‘Integritas’ khusus untuk memerangi rasuah seperti di Indonesia.

“Sudah tiba masanya Malaysia mengikut jejak langkah Indonesia. Program seperti ini dapat membentuk peribadi bermaruah dan berintegriti dalam kalangan pemimpin muda politik melalui kaedah ‘mentor-mentee’.

“Melalui program ini para pegawai badan pencegahan rasuah sendiri akan memberi kursus dan menjadi pembimbing kepada pemimpin muda politik dalam hal-hal berkaitan tadibir urus dan tatakelola,” katanya – SB