Ahli UMNO keluar parti, beri kelebihan kepada PN – Wan Ahmad Fayhsal

0
159

TINDAKAN ahli UMNO yang keluar parti itu beramai-ramai didakwa memberi kelebihan dan mengukuhkan lagi kedudukan Perikatan Nasional (PN) untuk meraih kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Ketua Angkatan Anak Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, mereka yang keluar UMNO memahami isu-isu yang berlaku di peringkat pusat termasuk berkaitan agama, raja dan kaum (3R) serta menolak kerjasama antara Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang itu berkata, calon-calon baharu daripada PH-BN juga tidak akan memberi saingan yang hebat kepada PN di negeri itu bahkan lebih ramai ahli parti itu didakwa beralih menyertai Pas dan Bersatu.

“Calon-calon PH-BN tidak memberi saingan yang sengit kepada kami kerana di peringkat akar umbi sebenarnya pengundi-pengundi menolak pakatan antara PH-BN, khususnya orang Kelantan yang sangat faham akan isu berkaitan 3R dan DAP.

“Ramai ahli UMNO keluar daripada UMNO di Kelantan dan masuk ke Bersatu serta Pas.

Negeri paling banyak terima ahli UMNO ialah Kelantan kerana mereka konservatif dan tidak boleh terima perkara yang berlaku di peringkat pusat.

Calon-calon PRN mereka pula hanya beri penentangan namun tidak sengit dan masih boleh ditangani,” katanya di Kota Bharu pada Sabtu, lapor Sinar Harian.

Sebelum itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Afiq Amani Annuar mengikut jejak langkah bapanya bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, keluar UMNO pada Jumaat lalu dan menyokong PN.

Turut keluar parti itu, tokoh dan bekas pemimpin UMNO antaranya bekas Datuk Bandar Ipoh, Datuk Sirajuddin Salleh, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Datuk Mohd Ibrahim Abu Bakar dan bekas Ketua Pemuda UMNO Bagan Datuk, Datuk Dr Nik Mohammad Azli Nik Ariffin.

Pengisytiharan keluar parti itu juga disertai seluruh ahli jawatankuasa UMNO cawangan Cabang Tiga Haji Musa membabitkan 20 kepimpinan termasuk Afiq Amani yang menyebabkan jawatankuasa UMNO cabang berkenaan terbubar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here