Parti MIRA, IMAN wakil kaum India, India Muslim kini rakan baru PN

0
138

PERIKATAN Nasional (PN) menerima dua rakan baru iaitu Parti Tindakan Hak Minoriti (MIRA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) ke dalam gabungan berkenaan.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata Majlis Tertinggi PN, sudah meluluskan penyertaan dua parti berkenaan dan beliau akan membuat penyerahan penyertaan kedua parti tersebut.

Beliau berkata, kedua-dua parti yang baru menyertai PN itu mewakili suara masyarakat India di negara ini.

Katanya, kaum India sebenarnya banyak parti dalam Malaysia, MIC mungkin parti terbesar untuk kaum India tapi sebenarnya banyak parti-parti yang lain yang didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran.

“Jadi bila ramai yang datang jumpa, jadi saya kata beginilah, kalau saya kalau ambil satu yang tiga lagi kata tidak adil.

“Kalau saya ambil tiga, orang kata pasal apa banyak sangat parti India, jadi saya bawa terus dalam mesyuarat, kita tubuhkan Jawatankuasa Masyarakat India di bawah PN.

“Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh saya, manakala timbalannya, setiausaha dan yang lain semua itu kaum India yang uruskan.. kita bincang masalah kaum India.

“Bila kita bincang masalah kaum India, percayalah esok (pada Pilihan Raya Umum) akan datang, dalam manifesto, kita ada perkara-perkara yang kita berikan tumpuan kepada kaum India,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Ceramah Perdana Perikatan Nasional di Markas PAS Kampung, Durian Badur di sini, malam tadi.

Hamzah berkata, walaupun gabungan itu mempunyai ahli bersekutu dalam BERSATU dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) namun itu adalah sesuatu yang dalam parti itu sendiri.

Katanya, dalam jawatankuasa yang dipengerusikan beliau itu, bukan hanya mereka yang aktif dalam parti tetapi juga aktif dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Baru-baru ini, apabila saya panggil mesyuarat, 30 orang lebih hadir dan selepas mengetahui mesyuarat itu ramai yang ingin menyertainya. Dalam satu dua hari lagi saya akan panggil mesyuarat dan setakat ini sudah lebih 50 orang yang bersetuju hadir.

“Jadi maknanya ada maklum balas daripada ketua parti dan NGO yang mewakili masyarakat India dan saya nak maklumkan bahawa sekarang ni dua parti satunya MIRA untuk jadi rakan PN satu lagi IMAN iaitu India Muslim parti,” katanya.

Mengulas mengenai pertemuan pemimpin MIC dengan beliau, Hamzah memaklumkan, MIC adalah salah satu parti semasa PN ditubuhkan dahulu dan MIC dipanggil penaja.

“Semasa kita tubuh PN, MIC adalah penaja dan tidak salahlah kita bercakap dengan salah seorang anggota parti penaja apa salahnya,” katanya lapor BH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here