Dakwa ramai ahli UMNO keluar, Zahid label Annuar ‘gila talak politik’

0
192

DATUK seri Zahid Hamidi menyifatkan Tan Sri Annuar Musa “gila talak politik” kerana tidak lagi relevan kepada UMNO, di sebalik dakwaan bekas Ahli Parlimen Ketereh ramai pemimpin dan ahli parti itu keluar beramai-ramai pada 4 Ogos.

Beliau berkata, lebih ramai keluar UMNO jika Annuar kekal dengan parti itu susulan desakan 147 ketua bahagian yang sebelum ini mahu pengerusi Muafakat Nasional (MN), yang pernah menjadi setiausaha agung UMNO dilucut jawatannya.

“Tetapi, perkara itu saya tidak lakukan (lucut jawatan). Jadi, saya terus husnuzon (bersangka baik) pada beliau,” katanya presiden UMNO pada sidang media di Kajang, menurut Berita Harian.

Media melaporkan Annuar berkata, satu pengumuman berkait pemimpin dan ahli UMNO keluar beramai-ramai akan dibuat pada 4 Ogos ini yang turut dihadiri Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Zahid ketika mengulas lanjut berkata, bagi menjaga solidariti perjuangan pemimpin Umno sama ada yang menang atau kalah, beliau meletakkan Annuar sebagai setiausaha agung Umno.

Malah beliau sendiri mencadangkan Annuar menjadi menteri penuh kerana hierarki jawatannya yang tertinggi dalam parti, apabila terbentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

“Saya tidak mahu menuduh beliau sakau, tapi itulah yang orang kata, bukan saya yang kata.

“Jadi, dalam keadaan macam ini, bila dah ‘gila talak politik’ kerana beliau tidak relevan dengan UMNO dengan jumlah 147 ketua bahagian yang tidak sukakan beliau, maka apa yang saya buat ialah tidak mahu memalukan beliau.

“Saya letakkan beliau sebagai setiausaha agung Barisan Nasional (BN). Jadi, dalam keadaan yang begitu beliau masih lagi buat kerenah. Jadi, apa yang saya buat saya tentulah mengambil tindakan politik yang sepatutnya,” katanya lapor FMT.

Pada 9 Dis 2022, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan Annuar antara tiga pemimpin akar umbi parti itu dipecat keahlian masing-masing dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Beliau berkata, MKT UMNO mengambil tindakan itu mengikut Fasal 10.6 Perlembagaan, yang memberi hak kepada parti untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here