UMNO akan ‘makan kawan’ bila semakin berkuasa, Tuan Ibrahim

0
155

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi amaran UMNO akan mengkhianati kawannya apabila parti itu semakin berkuasa.

Beliau memberi contoh UMNO menarik sokongan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi perdana menteri dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak.

“Jika tuan-tuan perhati, bila masa UMNO rasa dia kuat, dia lawan, dia makan kawan sendiri. Di Perak dia tarik sokongan, undi tak percaya pada Peja (Faizal) akhirnya tukar (menteri besar) kepada UMNO.

“Di persekutuan, mereka tarik sokongan pada Muhyiddin walaupun duduk dalam Kabinet sama, bincang sama-sama. Waktu susah bersama-sama, bila senang, 15 orang (Ahli Parlimen) tarik sokongan pada Muhyiddin,” katanya dalam ceramah di Lenggeng, Negeri Sembilan malam tadi.

Tuan Ibrahim berkata, PAS turut membantu UMNO ketika dalam susah, termasuk pada PRK DUN Rantau.

“Bila UMNO kalah, PAS satu-satunya parti yang datang membantu. Kita pernah mengecam UMNO, tetapi akhirnya saya beritahu semua tolong sokong UMNO,” katanya lapor FMT.

Muhyiddin dilantik perdana menteri susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menyebabkan kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad tumbang selepas 22 bulan berkuasa.

Bagaimanapun, Muhyiddin memegang jawatan itu hanya selama 17 bulan, sebelum Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya dan kerajaan diterajui Perikatan Nasional.

Beliau digantikan Naib Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob susulan kompromi antara Barisan Nasional dan PN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here