‘Modal RM200 sehari kalau guna minyak botol, macam mana nak untung’ – Peniaga pisang goreng

Kekurangan minyak masak paket terus hantui pengguna, peniaga

0
331

SELEPAS isu kenaikan harga barang asas,terbaharu rakyat berdepan pula masalah kekurangan minyak masak peket bersubsidi sekitar ibu negara.

Ada peniaga dan suri rumah yang membeli beberapa peket minyak masak, terpaksa menyimpan stok sendiri dan menggunanya secara jimat kerana bimbang bekalan terputus dan sukar didapati.

Azri Razali

Bagi peniaga kedai runcit, Azri Razali, 38 ketidaan minyak masak peket bersubsidi sejak beberapa bulan kebelakangan ini meresahkan dirinya sebagai peniaga.

“Sejak sebulan kebelakangan ini, minyak masak peket memang tiada. Yang ada hanya minyak masak botol sahaja. Saya tidak pasti kenapa sukar mendapat bekalan setiap kali mahu membeli daripada pembekal.

“Sebelum ini, saya beli minyak masak dalam kuantiti lebih sekotak yang mempunyai 17 peket minyak masak peket.

“Tetapi sekarang, mahu membeli sekotak pun sukar dan saya terpaksa mengehadkan pembelian minyak masak satu atau dua peket sahaja buat seorang pelanggan,” katanya ketika ditemui SatuBerita pada Selasa.

Bagi peniaga goreng pisang, Zamri Helmi, 56 kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak peket menyukarkan perniagaannya yang bertapak sejak 12 tahun lalu.

Zaleha Ismail

“Masalah sukar mendapat bekalan minyak masak peket dah lama, namun sejak kebelakangan ini makin sukar. Jika mahu beli pun ada syarat dikenakan dan tidak seperti dahulu.

“Selalunya saya akan beli minyak masak peket di pasaraya besar seperti NSK dan pembelian juga terhad. Pembeli juga mesti menunjukkan lesen pernigaan dan perlu beli barang asas lain selain minyak masak peket,” katanya.

Radyiah Mohd Salleh

Zaleha Ismail, pula berkata, sebagai peniaga dia akui agak terkesan dengan kesukaran memperoleh minyak masak peket kerana ia sumber utama perniagaan goreng di gerainya.

“Kami pernah berniaga menggunakan minyak botol sehari RM200 akibat ketiadaan minyak peket. Cuba bayangkan macam mana nak untung jika hari-hari guna minyak botol yang harganya jauh lebih mahal berbanding minyak peket,” katanya.

Suri rumah, Radhiyah Mohd Salleh, 39 berkata, minyak masak peket sukar didapati di kedai runcit berhampiran kediamannya.

“Sudah lama tiada minyak masak peket. Sejak awal tahun lagi dan sekarang makin susah. Kalau ada pun harga dah naik dan terhad kepada satu atau dua peket sahaja setiap pembeli.

“Sebagai suri rumah, saya lebih suka minyak masak peket berbanding botol kerana harga jauh lebih murah dan jimat,” katanya – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here