Semua calon layak jadi MB baru Kelantan, kata Ahmad

SELEPAS Datuk Ahmad Yakob memaklumkan penyertaannya dalam pilihan raya 12 Ogos ini sebagai yang terakhir, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Pas tidak ada masalah untuk mencari penggantinya.

Jelas beliau ini kerana, semua calon Pas kali ini layak untuk menjadi Menteri Besar.

Bercakap kepada media di Kota Bharu hari ini, Ahmad juga berkata keputusan mengenai penggantinya hanya akan diumumkan selepas pilihan raya negeri (PRN) berakhir kira-kira dua minggu lagi dan Pas-PN berjaya membentuk kerajaan semula.

“Tidak perlu bayangan, semua (calon yang bertanding pada PRN) dah layak menjadi Menteri Besar.

“Exco layak.. Menteri Besar layak.. tidak ada (calon) yang tidak layak,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia selepas selepas merasmikan pelancaran e-wallet Kelantan Pay hari ini.

Pada 29 Julai lalu Ahmad yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan menyatakan hasratnya untuk bersara selepas dilantik ke jawatan Menteri Besar pada Mei 2013.

Ahmad merupakan ADUN Pasir Pekan sejak kawasan tersebut diwujudkan pada PRU kesembilan (1995).

Beliau mengekalkan kemenangan bagi pihak Pas sejak itu.

Kini berusia 73 tahun Ahmad menjadi Menteri Besar Kelantan ke-18 bagi menggantikan Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melepaskan jawatan tersebut selepas sebagai ketua kerajaan negeri sejak Oktober 1990.

ADUN Panchor, Datuk Mohd. Amar Abdullah pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar.

Menurut Ahmad, jika mengekalkan kemenangan untuk penggal ketujuh pada 12 Ogos nanti, beliau berasa sudah tiba masa untuk memberi laluan kepada ADUN lain yang lebih muda.

Menjelang pengundian kali ini, Ahmad berkata, biarlah isu penggantinya dibiarkan dulu bagi membolehkan semua pihak dalam Pas memberi tumpun kepada berkempen dan mengekalkan kemenangan.

“Selepas PRN kita (Pas) akan susun (secara) terbaik, sekarang ini Pas terbuka kepada rakyat dahulu untuk memilih mana-mana calon

“Bila dah dapat keputusan dalam beberapa hari kita akan umum,” katanya.