Segera hentikan komen terbuka isu dalaman parti, kata PAS

0
124

PAS mengingatkan agar ahli parti itu “segera” menghentikan sebarang tindakan memberi kenyataan umum yang boleh menjejaskan peluang mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata larangan itu membabitkan sebarang urusan dalaman parti, dan melalui apa saja saluran yang ada.

Katanya larangan kenyataan tersebut juga meliputi isu pemilihan calon PAS-PN.

Kata Takiyuddin semua ahli PAS perlu faham bahawa proses pemilihan calon bagi mewakili PAS dibuat mengikut ketetapan yang jelas diperuntukkan dalam perlembagaan parti, bukannya hasil desakan atau tekanan mana-mana pihak.

Ia juga tambah ahli parlimen Kota Bharu itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua peringkat dalam PAS.

“Justeru sebarang kenyataan yang berupa sedemikian – lebih-lebih lagi yang membawa risiko sokongan kepada PAS-PN perlu dihentikan segera bagi mengelakkan pihak berkuasa tatatertib parti terpaksa menjalankan prosidingnya,” kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi.

PAS bersama PN bakal menyertai PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Pemilihan calon dilihat antara isu yang menjadi duri dalam daging di sesetengah tempat, khususnya membabitkan kawasan PAS yang ditandingi calon dari parti komponen PN.

Guna saluran dalaman

Antara yang paling menonjol ialah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas yang diberikan kepada Presiden Gerakan Dominic Lau.

Menjelang pengumuman calon bagi kawasan itu pemimpin PAS di peringkat negeri dan cawangan sudah menyatakan bantahan mereka, khususnya apabila DUN tersebut merupakan kawasan majoriti Melayu.

Rasa tidak puas hati PAS setempat juga dapat dikesan melalui beberapa hantaran yang dibuat – sama ada secara langsung atau berkias – di pelbagai platform media sosial.

Persaingan di DUN Ayer Hangat juga menyaksikan seorang ahli PAS menjadi calon bebas di situ selepas tidak berpuas hati apabila wakil Bersatu yang terpilih.

PAS-PN sudah menyatakan keyakinan mereka untuk memenangi semua enam negeri yang terbabit dalam PRN kali ini.

Arahan mengekang ahli daripada membuat kenyataan yang dikeluarkan semalam bukanlah kali pertama dibuat PAS.

Pada 27 Julai lalu peringatan sama juga dikeluarkan Takiyuddin serta Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Takiyuddin berkata Sebarang persoalan atau rasa tidak puas hati berkaitan pertikaian dalaman ahli PAS perlu disuarakan mengikut saluran yang ada pada pertubuhan tersebut.

“Sebagai sebuah parti arus perdana, PAS bersama rakan-rakan gabungan dalam PN yakin akan terus diberikan mandat dalam PRN ini untuk mara berkhidmat kepada negara dan rakyat jelata,” katanya lapor Malaysiakini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here