Pemuda PN buat laporan polis terhadap Anwar, Zahid

0
217

PEMUDA Perikatan Nasional (PN) hari ini tampil membuat dua laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Ketua Pemudanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, laporan pertama membabitkan ucapan Ahmad Zahid berkaitan pengumuman kewangan dalam sebuah program di Terengganu yang berbau sogokan.

Katanya, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu jelas menyalahgunakan kuasanya dan kemudahan jawatan kerajaan untuk kepentingan politik sendiri apabila mengumumkan sejumlah peruntukan.

“Ahmad Zahid telah mengumumkan peruntukan kewangan sekiranya belia di Terengganu mengundi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN). Ini merupakan rasuah.

“Beliau (Ahmad Zahid) menyebut, kalau tadi Belia Ketengah memberikan peruntukan RM30,000 dan saya tambah RM70,000 jadi RM100,000, untuk Majlis Belia Terengganu saya luluskan RM250,000. Untuk pasukan bermotosikal Terengganu saya beri peruntukan sebanyak RM200,000.

“Kenyataan ini juga boleh disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas beliau menyebut, lepas ini bila PM datang, dia akan tambah insyaAllah, asalkan pada 12 Ogos nanti, para belia mengikut ‘Gelombang Biru dan Merah’ di Terengganu, boleh?” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ketua Armada Bersatu Wilayah Persekutuan, Mohd Safwan Manoga membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

Pada 27 Julai lalu media melaporkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri berkenaan.

Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kenyataan yang mempunyai unsur sogokan terhadap pengundi-pengundi bagi PRN ke-15 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Menterinya, Ahmad Zahid berkata jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Pada program Sentuhan Kasih Desa, yang dihadiri Anwar, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri itu.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Machang menggesa SPRM menyiasat kenyataan Ahmad Zahid merangkap Pengerusi BN yang didakwa berbaur sogokan bagi meraih undi pada PRN mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sementara itu menurutnya, laporan lain yang dibuat membabitkan ucapan Anwar yang didakwa menggunakan kuasa eksekutif untuk mengerah agensi penguatkuasaan membuat siasatan yang bermotif politik.

“Pada 24 Julai lalu di Machang, Anwar menyebut, tiga kali dah saya tegaskan kamu mesti pulangkan balik wang dan harta yang kamu curi daripada rakyat. Kalau tidak, saya minta semua badan siasat, pergi rumah dan pejabat dia, tengok akaun (bank) dia, semak mana yang dia curi (kemudian) ambil balik.

“Anwar telah menyalahgunakan kuasanya selaku Perdana Menteri untuk menekan badan penguat kuasa memulakan siasatan terhadap PN untuk memberi gambaran salah bahawa tindakan Mahkamah yang diambil mempunyai asas sedangkan ia adalah palsu sama sekali.

“Tindakan dan komplot Anwar dalam menggunakan agensi penguatkuasa bagi tujuan kolateral dan bagi kepentingan mereka sendiri adalah bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan prinsip pengasingan kuasa,” katanya, lapor MalaysianGazette.

Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, Anwar melibatkan agensi penguatkuasaan supaya menyiasat dan mengenakan pendakwaan jenayah terpilih terhadap pemimpin pembangkang bagi melumpuhkan PN pada PRN yang sedang berlangsung.

Dakwanya lagi, ia bagi menakut-nakutkan dan mendiamkan mulut pembangkang.

Justeru Wan Ahmad Fayhsal menggesa PDRM menyiasat kedua-dua Anwar dan Ahmad Zahid bagi mengekang perbuatan jenayah dan salah guna kuasa oleh pemimpin kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here