Seri Perdana bagaikan bangunan terbiar terpaksa diperbaiki – Dr.Marzuki

0
153

Oleh DATUK DR.MARZUKI MOHAMAD

PERDANA Menteri menuduh pengubahsuaian Seri Perdana ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri adalah satu pembaziran.

Saya terlibat secara langsung dalam mengurus proses pengubahsuaian dan pembaikan Seri Perdana pada ketika itu atas kapasiti sebagai Ketua Setiausaha Sulit Kepada Perdana Menteri Ke-8.

Pada awalnya, saya dibawa melawat Seri Perdana untuk melihat keadaannya. Seri Perdana ini ada dua sayap. Satu sayap kediaman peribadi dan satu lagi sayap protokol untuk majlis-majlis rasmi. 

Sayap kediaman peribadi adalah untuk kediaman rasmi Perdana Menteri. Di situ ada ruang tamu, bilik-bilik tidur, perpustakaan, ruang makan, ruang rehat, dapur, halaman dan lain-lain  yang biasa ada pada sebuah rumah kediaman. Luasnya lebih kurang 56,000 kaki persegi. Bukan kecil. 

Gambar tular pada tahun 2021 yang menunjukkan kerosakkan dalam Seri Perdana.

Masalah utama Seri Perdana ialah kebocoran di beberapa bahagian bangunan yang menyebabkan bumbung, siling, dinding dan lantainya rosak. Saya diberitahu peralatan dapur juga tidak boleh digunakan di samping masalah pendawaian yang telah usang dan perlu diganti baharu. Selain itu, Seri Perdana juga telah diubahsuai sebelum ini menyebabkan keadaannya yang asal telah berubah.

Kebanyakan perabot juga telah tiada. Ini kerana terdapat kelemahan dalam sistem inventori yang menyebabkan pegawai tidak dapat memastikan sama ada perabot di Seri Perdana milik kerajaan atau milik peribadi mantan Perdana Menteri Ke-6, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saya menerima permohonan daripada Datuk Sri Najib untuk mengeluarkan sebahagian besar daripada perabot di Seri Perdana yang dikatakan milik peribadi beliau. Ini termasuk lampu dan chandelier di Seri Perdana. Perkara ini menjadi pertikaian sejak sekian lama. Tetapi Alhamdulillah dapat diselesaikan oleh pihak JPM pada ketika itu.

Dengan keadaan ini, Seri Perdana yang sepatutnya menjadi kediaman rasmi Perdana Menteri, didapati tidak sesuai untuk didiami. Selepas Datuk Seri Najib bersara, saya diberitahu Tun Dr. Mahathir Mohamad pun tak pernah tinggal di situ. Ia seolah-olah bangunan terbiar. Dari luar nampak cantik, tapi di dalamnya tak boleh diduduki. 

Oleh sebab itu, kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian terpaksa dilaksanakan untuk membolehkan ia diduduki dan mengembalikan Seri Perdana kepada keadaannya yang asal. Bangunan mana pun kalau tak dibaiki, tak diduduki dan dibiarkan rosak begitu sahaja, lama kelamaan kerosakannya akan menjadi lebih teruk dan kosnya akan lebih meningkat.

Saya ingat lagi Tan Sri Muhyiddin pernah berpesan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM pada ketika itu dua perkara mengenai Seri Perdana:

1. Perlu ada inventori yang lengkap semua harta kerajaan di Seri Perdana supaya tidak ada mana-mana Perdana Menteri yang boleh mengambil mana-mana perabot atau hiasan di Seri Perdana selepas bersara, kecuali barangan milik peribadi. 

2. Perlu ada satu Akta mengenai Seri Perdana sebagai bangunan warisan yang tidak boleh diubahsuai sesuka hati. The original state of Seri Perdana must be preserved. 

Alhamdulillah, setelah dibaiki dan dikembalikan kepada keadaannya yang asal, Seri Perdana telah boleh didiami oleh Perdana Menteri Malaysia dan digunakan untuk pelbagai acara rasmi.

Perdana Menteri Ke-10 juga banyak mengadakan majlis rasmi dan acara keraian di Seri Perdana. Saya harap dua perkara yang dinyatakan oleh Tan Sri Muhyiddin mengenai Seri Perdana dapat juga dilaksanakan oleh kerajaan. 

Nota:

Proses pengubahsuaian dan pembaikan Seri Perdana masih belum siap ketika TSMY meletak jawatan pada bulan Ogos 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here