Mana pergi beras tempatan? Peniaga dakwa sejak bulan lepas stok tiada

“Pelanggan juga tiada pilihan selain beli sahaja beras import walaupun harga agak mahal berbanding beras tempatan,” - Peniaga

0
391

SELEPAS kenaikan harga beras sejak beberapa bulan kebelakangan ini, timbul pula isu ketiadaan beras tempatan (Super Spesial Tempatan (SST) di kebanyakan kedai runcit dan pasaraya sekitar ibu negara.

Beras tempatan menjadi keutamaan pengguna khususnya berpendapatan rendah kerana harganya lebih murah berbanding beras import.

Bagaimanapun tinjauan SatuBerita di beberapa premis perniagaan mendapati, beras SST untuk 10 kilogram (kg) dan 5 kg sukar diperoleh, jika ada atau kuantitinya sedikit dan cepat habis.

Hal itu menimbulkan rungutan pengguna sekali gus memaksa mereka mengeluarkan belanja lebih.

Bagaimanapun, hasil pemerhatian itu juga mendapati, tidak sukar mencari beras putih, Super Spesial Import (SSI) dan import berkualiti tinggi seperti beras wangi, perang dan basmati kerana ia masih banyak di rak dengan harga bermula RM26 dan ke atas untuk 10 kg serta RM16 ke atas (5 kg).

Bagi pembantu peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Wanda, 22 berkata sudah agak lama kedainya tidak menjual beras SST kerana tiada bekalan.

“Saya tidak pasti kenapa beras tempatan agak sukar didapati kebalakangan ini. Dahulu setiap kali jualan habis,terus pesan sahaja kepada pembekal dan mereka akan hantar.

“Tetapi sekarang pembekal juga tiada stok untuk dihantar kecuali beras import,” katanya ketika ditemui pada Ahad.

Syahril Ridzwan

Bagi pengusaha kedai runcit Anugerah, Syahril Ridzwan,19 berkata, buat masa ini kedainya tiada stok beras tempatan.

“Setakat ini, memang tiada stok yang ada hanya tinggal beras import sahaja. Saya sendiri tidak tahu kerana bermula bulan lepas lagi, pembekal kata tiada stok.

“Pelanggan juga tiada pilihan selain beli sahaja beras import walaupun harga agak mahal berbanding beras tempatan,” katanya.

Banyak kedai runcit mengalami kesukaran mendapatkan bekalan stok beras tempatan.

Seorang pekerja di sebuah kedai serbaneka yang hanya mahu dikenali sebagai Wani turut memberitahu situasi kekurangan beras tempatan turut dialami di tempatnya bekerja.

“Saya tidak pasti kenapa tetapi ada juga pelanggan yang bertanya mengapa beras tempatan agak sukar didapati berbanding sebelum ini.

“Kalau ada stok pun agak terhad dan cepat habis, tidak seperti selalu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here