PRN: Dominic bertanding di Bayan Lepas, Pas Pulau Pinang akui jentera kena sabotaj

0
161

PAS Pulau Pinang mengakui berlaku sabotaj dalam jentera parti selepas Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau, diletakkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas.

Pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusof, berkata perkara itu sedang diuruskan oleh kepimpinan agar suasana kembali reda bagi memastikan kempen dapat berjalan dengan baik sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Jelasnya, memang terdapat pihak yang tidak berpuas hati berikutan kerusi tradisi Pas yang kontroversi itu diserahkan kepada Dominic.

“Sudah tentu mereka ‘panas’, ada berlaku kekhilafan dan sebagainya, maka perkara itu (sabotaj) memang berlaku dalam mana-mana proses sepanjang PRN yang saya ikuti.

“Malah, pemilihan Dominic sebagai calon sudah diputuskan oleh Majlis Kepimpinan PN Pusat walaupun kita sudah usaha minta calon Pas mewakili kerusi Bayan Lepas,” katanya selepas selesai proses penamaan calon di Institut Kemahiran Mara (IKM) Tasek Gelugor hari ini.

Beliau yang juga calon DUN Sungai Dua berkata, buat masa ini pihaknya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

Sementara itu, tinjauan di bilik gerakan Pas Bayan Lepas di Teluk Kumbar mendapati suasana lengang tanpa kehadiran penyokong.

Konflik mengenai calon di kawasan itu mula timbul selepas Pas Bayan Lepas dikatakan membantah pencalonan Dominic untuk bertanding di kerusi itu yang majoritinya penduduk Melayu.

Dalam pada itu, pimpinan dan ahli Pas Bayan Lepas dikatakan akan membantu kempen calon Pas yang bertanding di kerusi DUN Pulau Betong, Mohamad Shukor Zakaria.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim ketika dihubungi Astro AWANI berkata, beliau sendiri turut berkempen bagi membantu kemenangan Mohamad Shukor di kerusi berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya berhubung ketiadaan penyokong Pas bagi memberi sokongan kepada Dominic di pusat penamaan calon di Dewan Bukit Belah, Teluk Kumbar hari ini.

Menurut Iszuree, beliau tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut buat masa ini.

Dalam jawapan balas di aplikasi WhatsApp, Iszuree percaya, ketidakhadiran penyokong Pas itu disebabkan marah dengan tindakan Dominic bertanding di kerusi itu.

“Nampaknya ahli Pas marah dan tindakan Dominic akan merugikan satu kerusi PN.

“Saya dan ahli Pas kawasan Bayan Lepas akan membantu kempen calon Pas, Mohamad Shukor Zakariah yang bertanding di DUN Pulau Betong” katanya ringkas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here