572 calon layak bertanding PRN, PRK Parlimen Kuala Terengganu

0
102

PILIHAN Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan semua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen, dipertandingkan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata seramai 572 calon mewakili pelbagai parti termasuk Bebas disahkan bertanding selepas tempoh penamaan ditutup pada jam 10 pagi tadi.

“Sejurus tamat tempoh penamaan calon pada jam 10 pagi, sebanyak 573 kertas penamaan dikemukakan oleh pelbagai parti dan individu yang akan bertanding dalam PRN-15 dan PRK Parlimen P036 Kuala Terengganu.

“Bagaimanapun, satu kertas penamaan calon ditolak membabitkan sorang calon Bebas DUN N09 Kota Lama, Kelantan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abdul Ghani berkata, daripada 572 kertas penamaan yang disahkan, 108 daripadanya membabitkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (138), Perikatan Nasional (168), PAS (78), Parti Rakyat Malaysia (13), MUDA (19), Parti Sosialis Malaysia (4), Penang Front Party (2), Parti Utama Rakyat (1) dan Bebas (41).

Katanya, sebanyak 181 pertandingan membabitkan satu lawan satu, tiga penjuru (51), empat penjuru (13) dan lima penjuru (1) iaitu di kerusi DUN N34 Lunas, Kedah.

“Bilangan calon yang bertanding mengikut jantina adalah seramai 501 lelaki dan 71 wanita.

“Calon paling tua adalah Ravinder Singh Mall Singh berusia 80 tahun dari Parti Rakyat Malaysia yang bertanding di kerusi DUN N36 Pantai Jerejak, Pulau Pinang manakala calon termuda ialah Melanie Ting Yi-Hlin berusia 23 tahun mewakili MUDA dan bertanding di kerusi N19 Bukit Antarabangsa, Selangor,” katanya.

Beliau berkata, dengan selesainya proses penamaan calon itu, tempoh rasmi berkempen sudah bermula sehingga jam 11.59 malam, 11 Ogos ini.

“SPR berharap supaya aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan.

“Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin parti politik, komponen, gabungan atau pakatan pada bahan kempen pilihan raya,” katanya.

Katanya, gambar pemimpin parti politik pada bahan kempen termasuk gambar pemimpin parti politik komponen yang berdaftar secara rasmi atau tidak berdaftar secara rasmi namun menyokong atau bersekutu dengan calon parti politik bertanding, boleh digabung atau diletakkan secara berasingan.

“Pemimpin yang dimaksudkan adalah individu yang mempunyai apa-apa jawatan di mana-mana peringkat di dalam parti atau parti gabungan yang berdaftar secara rasmi atau tidak berdaftar secara rasmi,” katanya lapor BH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here