PRN Selangor: Pengundi Melayu diseru keluar mengundi

0
99

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru pengundi Melayu di Selangor keluar mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Katanya, berdasarkan rekod pilihan raya umum (PRU) lalu, hampir 30 peratus pengundi Melayu tidak keluar mengundi.

“Mungkin mereka yakin, PN boleh menang tapi angka 30 peratus itu adalah jumlah undi yang besar.

“Kalau pengundi tersebut keluar, kita akan dapat menangkan tiga ke empat kerusi lagi.

“Justeru, saya minta jentera PN untuk turun bertemu pengundi dan mengingatkan mereka menunaikan tanggungjawab berkenaan pada 12 Ogos ini,” katanya ketika majlis Pengumuman Calon PN Selangor di Taman Medan, malam tadi.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengumumkan PN akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN di Selangor.

Sementara itu, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dicalonkan di DUN Hulu Kelang melahirkan harapan agar semua pihak terbuka menerima calon yang dipilih parti untuk bertanding pada PRN Selangor.

Katanya, kini menjadi keutamaan untuk memperjuangkan nasib rakyat Selangor, bukannya kepentingan diri sendiri.

“Kita pilih calon ini kerana percaya mereka akan menjadi juru bicara, bukan duduk diam diri dalam dewan dan tidak berkata apa-apa.

“Mereka perlu bertekad kerana ini adalah amanah yang ALLAH SWT berikan dan rakyat gunakan undi mereka untuk pilih wakil.

“Jika kita gagal menunaikan amanah dan tanggungjawab itu, hadapilah ALLAH SWT nanti akan dipersoal apa yang dibuat terhadap oramg yang dipimpin di bawah,”katanya lapor Agendadaily.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here