Saravanan nafi akan dipanggil SPRM

0
212

BEKAS menteri sumber manusia Datuk Seri M Saravanan menafikan spekulasi bahawa beliau akan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu kes pengubahan wang haram melibatkan ahli perniagaan bergelar “Datuk”.

“Ia (hanya) khabar angin, jadi mengapa saya perlu melayannya? Biarkan sahaja,” kata Saravanan kepada FMT apabila ditanya sama ada beliau telah dipanggil oleh SPRM.

Semalam, media melaporkan bahawa SPRM akan memanggil seorang bekas menteri untuk memudahkan siasatannya terhadap urusan ahli perniagaan itu.

Terdahulu, media melaporkan Abdul Malik Dasthigeer, atau lebih dikenali sebagai “Dato Malik”, telah ditahan oleh SPRM.

Sumber yang rapat dengan individu itu berkata, dia ditahan awal pagi ini di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Sumber dari SPRM turut mengesahkan perkara itu, sambil berkata Malik sedang disoal siasat oleh pegawai agensi antirasuah itu

Malik ialah pengasas dan pengerusi Malik Group of Companies, yang terdiri daripada Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Malik Maju Sdn Bhd, Malik Streams Properties Sdn Bhd, Malik Streams Antenna Movies Sdn Bhd, dan Malik Streams Production & Distribution.

Beliau dikenali kerana membawa masuk artis dari India untuk membuat persembahan konsert Tamil di Malaysia.

Menurut laporan FMT, sumber yang rapat dengan Malik berkata dia dijangka dibebaskan dengan ikat jamin hari ini

Gambar Saravanan bersama Malik yang dikongsi secara meluas telah mencetuskan khabar angin bahawa SPRM akan memanggil bekas menteri itu untuk disoal siasat.

Bagaimanapun, Saravanan berkata adalah bukan satu jenayah bagi mana-mana ahli perniagaan untuk bergambar dengannya, sama seperti ramai orang lain ketika dia keluar di khalayak ramai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here