‘Kamu tak dapat ‘Gelombang Hijau’, kamu dapat Xi Jinping’ – kata bekas ADUN DAP

SEORANG pemimpin DAP Pulau Pinang menyerang seorang individu dipercayai pemimpin paling kanan dalam partinya, sambil menyifatkan amaran yang dilaungkan baru-baru ini mengenai “gelombang hijau” hanyalah taktik untuk menakut-nakutkan rakyat negeri itu terhadap Perikatan Nasional (PN).

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy berkata bahaya yang lebih besar bagi Pulau Pinang ialah “maharaja” tertentu, yang dibandingkan dengan seorang pemimpin komunis Cina.

“Istilah ‘gelombang hijau’ hanyalah untuk menakut-nakutkan rakyat. Ia hanya buat ‘maharaja’ bertambah kuat. Kamu (pengundi) tak dapat ‘gelombang hijau’, kamu dapat Xi Jinping,” katanya lapor Malaysikini sebagai berkata, merujuk kepada Presiden China yang terkenal sebagai pemimpin Parti Komunis China sejak 2013.

Sementara itu, Satees berkata sepanjang menjadi wakil rakyat sejak 2018, beliau memperjuangkan pelbagai isu rakyat.

“Dalam lima tahun, saya buat kerja lebih banyak daripada orang yang gagal selama 10 tahun. Saya tidak bawa kereta Vellfire dan bawa pemimpin ke sana sini. Saya tidak angkat beg pemimpin itu,” sindirnya.

Beliau juga menolak penjelasan bahawa senarai calon baru bertujuan mengetengahkan calon lebih muda kerana beliau sendiri berusia 38 tahun. Sedangkan,ada yang dalam senarai calon itu berumur sehingga 58 dan 61 tahun.

“Memang tiada keadilan dalam politik. Saya terima tetapi saya akan terus bersuara,” katanya.

Satees berkata senarai calon ditentukan oleh “maharaja” tertentu, sambil menambah ia memudaratkan demokrasi.

“Jika anda berada di Pulau Pinang, anda akan faham. Pulau Pinang adalah negeri barisan hadapan demokrasi Malaysia.  Apa yang saya lakukan adalah demi kepentingan negeri Pulau Pinang dan rakyat Pulau Pinang! Kami tidak memerlukan Maharaja di Pulau Pinang; kami perlu menggerakkan demokrasi!” tulis Satees dalam satu kiriman di Facebook.