Komplot dirancang pihak tertentu bukan polis – Sanusi

0
150

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa komplot untuk menjatuhkan kredibilitinya yang dirancang sejak enam bulan lalu bukan membabitkan pihak berkuasa, sebaliknya dirancang pihak tertentu.

Beliau mendakwa, rancangan untuk memusnahkan karier politiknya kemungkinan bermula sejak Oktober tahun lalu dan dirinya terpalit dengan satu persatu plot dirancang pihak terbabit.

Menurutnya, sebahagian daripada komplot tersebut bermula dengan insiden stor di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon dibaling bom.

“Itulah sebahagian daripada komplot tersebut. Kemudian kerajaan bertukar dan saya dihalang untuk menghadiri majlis-majlis mesyuarat kerajaan persekutuan. Mereka berusaha bersungguh-sungguh, tapi gagallah pasal saya pandai. Saya riuhkan benda ni, terpaksa dibenarkan hadir. Itu komplotnya,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Alor Setar, hari ini, labor Sinar Harian.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau tidak pernah membuat tuduhan komplot itu dirancang pihak berkuasa, sebaliknya didalangi pihak tertentu yang mahu menjatuhkan kedudukan beliau menjelang pilihan raya negeri (PRN).

“Saya bukan maksudkan polis, yang perasan pasai apa. Saya tak mahu gaduh dengan kakitangan awam. Semua kakitangan awam negeri dan persekutuan rakan saya.

“Mereka bekerja atas bidang kuasa masing-masing. Jangan bekerja ikut arahan elit politik atas kepentingan politik. (Tindakan seperti itu) bahaya untuk negara dan masa depan penjawat awam,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan kononnya terdapat rancangan dan komplot untuk menangkap Muhammad Sanusi yang dirancang sejak enam bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan terhadap Muhammad Sanusi adalah berdasarkan kronologi siasatan dilakukan polis.

Ketika ditanya mengenai pihak yang didakwa merancang komplot terhadapnya itu, Muhammad Sanusi sebaliknya hanya berteka-teki.

“Tak tahulah. Buatlah kesimpulan sendiri. Siapa yang dapat untung, dialah yang rancang,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, beliau akan memberi keterangan mengenai dakwaan itu kepada polis pada petang Rabu.

“Saya mana tau (Bukit Aman atau Kedah), yang saya tau mereka polis. Saya hari-hari diambil keterangan. Nampak tumpuan kepada saya berlebihan kan? Itulah orang kesian pada saya.

“Saya angkat tangan, budak-budak semua angkat tangan sekarang ni. Jangan lebih-lebih, nanti orang marah. Lepas ni, saya akan buat satu tagline baru (angkat tangan) di Malaysia untuk rakyat ikut saya,” katanya.

Pada 17 Oktober lalu, tembok pagar utama kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon, disimbah cat merah dan biru.

Sebelum itu, sebuah kabin kontena yang dijadikan stor dalam kawasan berkenaan turut musnah akibat letupan bom pada awal pagi 16 Oktober.

Ketua Polis Kedah ketika itu, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad memaklumkan menerima laporan mengenai kemusnahan kontena pada petang 18 Oktober dan siasatan awal membawa kepada penemuan sampel dan bahan bukti dipercayai digunakan bagi menghasilkan letupan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here