2 suspek anggota sindiket ‘ah long’ ditahan

0
164

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

POLIS Pulau Pinang menahan dua lelaki yang disyaki menjalankan aktiviti pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ di Bandar Perda, Bukit Mertajam, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek berusia 22 dan 28 tahun itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak tahun lepas.

Katanya, susulan tangkapan itu, polis turut merampas beberapa peralatan berkaitan termasuk pelbagai telefon bimbit, kad nama, buku latihan, kertas putih, kad urusniaga dan buku bil.

“Semakan lanjut mendapati, kedua-dua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 sehingga RM1 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, polis akan terus berusaha untuk memerangi kegiatan pinjaman wang tanpa lesen bagi memastikannya dibanteras habis-habisan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here