NGO desak Hasnal lepas jawatan pesuruhjaya Suhakam

0
151

JAWATANKUASA Pemandu CSO Platform for Reform menggesa Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican meletak jawatan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) selepas diumumkan calon Barisan Nasional (BN) pada PRN.

NGO itu berkata pelantikan pemimpin politik ke jawatan penting dalam Suhakam menimbulkan persoalan mengenai kebebasan suruhanjaya itu dan keupayaannya berfungsi tanpa sebarang pengaruh luar.

Menurutnya, keberadaan Hasnal dalam institusi Suhakam sesuatu yang membimbangkan apatah lagi partinya sebahagian daripada kerajaan hari ini, selain berpotensi dalam percanggahan kepentingan.

“CSO Platform for Reform menyeru Pesuruhjaya Hasnal untuk menegakkan integriti Suhakam dengan segera meletakkan jawatan.

“Langkah ini penting untuk melindungi kebebasan dan kredibiliti suruhanjaya itu dan menunjukkan komitmen terhadap promosi dan perlindungan hak asasi manusia tanpa sebarang kemungkinan kepada percanggahan kepentingan atau ‘conflict of interest’,” menurut kenyataan itu.

Pada 21 Julai, BN mengumumkan Hasnal sebagai calon parti itu bagi DUN Kuang di Selangor.

Pengumuman itu menerima reaksi negatif daripada bekas anggota suruhanjaya itu yang turut mendesak Hasnal melepaskan jawatan pesuruhjaya beliau.

Bekas pesuruhjaya, Jerald Joseph berkata, Hasnal mesti segera mengambil tindakan sedemikian.

Semakan dalam laman sesawang mendapati Hasnal masih lagi pesuruhjaya.

Hasnal antara pesuruhjaya Suhakam dilantik pada Julai tahun lalu, bersama Noor Aziah Awal, bekas presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, Nordin Ibrahim, Dr Chew Chee Ming, Mary @ Mariati Robert, serta Nazira Abdul Rahim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here