Dewan Rakyat maklum kekosongan kerusi Parlimen Pulai

0
122

YANG Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah memaklumkan kepada Suruhanhaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pulai ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub kelmarin.

Dalam satu kenyataan hari ini, Johari berkata kekosongan kerusi berkenaan perlu diisi dalam tempoh 60 hari selaras Perkara 53 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah mengemukakan suatu pemberitahuan bertarikh 25 Julai kepada pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa Yang Berhormat Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Pulai, Johor, telah meninggal dunia pada hari Ahad 23 Julai 2023.

“Oleh yang demikian seleras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P161 Pulai, Johor dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR bahawa ada kekosongan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor MalaysiaKini.

Ahli parlimen Pulai dua penggal itu (2018, 2022) telah dikejarkan ke hospital di Alor Setar pada Jumaat sebelum menjalani pembedahan kecemasan dan sejak itu diletakkan bawah pemantauan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Salahuddin, yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup meninggal dunia akibat pendarahan otak di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, malam Ahad lalu.

Ahli politik berusia 61 tahun itu meninggalkan balu Fatimah Taha, enam orang cahaya mata dan 11 cucu.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong Kampung Serkat di Pontian, Johor, pagi tadi.

Sementara itu, Dewan Rakyat merakam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Salahuddin.

“Di kesempatan ini, bagi pihak Parlimen Malaysia, saya ingin mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga ahli Allahyarham Yang Berhormat Salahuddin Ayub dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan di tempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh disisi Allah SWT,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here