Surat saman merepek, peguam Muhyiddin jawab Anwar

0
94

TINDAKAN Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman sebanyak RM200 juta kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda adalah merepek dan mempermainkan proses mahkamah.

Firma guaman yang mewakili Muhyiddin, Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership dalam jawapan balas kepada surat yang dihantar Tetuan SN Nair & Partners, firma mewakili Anwar menyifatkan perdana menteri “cuba memutarbelitkan perkara ini seperti menegakkan benang yang basah”.

“Anda seharusnya tahu bahawa tuntutan anak guam anda untuk RM200,000,000 adalah merepek dan jika difailkan sedemikian merupakan satu penyalahgunaan dan mempermainkan proses mahkamah,” kata firma itu dalam surat kepada peguam Anwar.

Jumaat lalu, Anwar menuntut Muhyiddin supaya meminta maaf dan membayar pampasan RM200 juta kerana menjejaskan reputasi beliau berhubung dakwaan fitnah membabitkan isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Menerusi jawapan terhadap surat tuntutan Muhyiddin sebelum ini, Anwar akan memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri itu jika tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh surat jawapan berkenaan.

Surat jawapan terbabit dialamatkan kepada firma guaman, Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership yang mewakili Muhyiddin.

Selain itu, Anwar turut menuntut Muhyiddin menarik balik surat tuntutan beliau dan semua kenyataan yang didakwa fitnah diterbitkan berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda serta-merta.

Rabu lalu, Muhyiddin menuntut Anwar membuktikan sudah menandatangani pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut meminta Anwar menarik semula dakwaan beliau tidak menyelesaikan isu itu dan meminta maaf kepadanya.

Kerajaan pimpinan Muhyiddin sebelum ini memulakan langkah menghapuskan hutang peneroka pada Jun 2020, pelan yang diluluskan oleh Kabinet empat bulan kemudian.

Ini termasuk terbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan bagi membiayai rancangan penstrukturan semula Felda. 

Pada Februari tahun ini, Putrajaya berkata ia tidak dapat meneruskan rancangan Muhyiddin untuk mengenepikan pinjaman peneroka. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata ini kerana langkah tersebut memberi impak yang besar kepada aliran tunai Felda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here