Penduduk Sungai Sireh tuntut jaminan MB Selangor

0
233

KIRA-kira 400 penduduk di Taman Sungai Sireh, Klang, Selangor yang terlibat dengan projek pembinaan landasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kecewa kerana mendakwa tiada pembelaan khusus dan tuntas buat mereka.

Meskipun pelbagai perjumpaan dan desakan diadakan sejak tahun lalu namun isu pembelaan nasib mereka seperti tiada penghujung.

Lebih menggusarkan sejak Seksyen 8 akta pengambilan tanah diwartakan sejak Januari lalu penduduk didatangi ramai wakil juru nilai daripada syarikat  swasta untuk menilai rumah mereka.

Pengerusinya, Shapawi hashim berkata, percanggahan maklumat yang diterima penduduk jelas menunjukkan tiada koordinasi jelas antara kerajaan pusat dan negeri sehingga membuatkan penduduk di kawasan itu tersepit.

“Sudah tentu kita mahu adakan satu pertemuan dengan pihak menteri besar supaya pertemuan ini dapat melegakan keresahan penduduk di mana ada suatu jaminan atau surat dikeluarkan kepada penduduk kerana hari kini kita didatangi pelbagai pihak yang menyebabkan penduduk begitu resah,” katanya ketika diwawancara Buletin TV9 baru-baru ini.

Penduduk juga mendakwa sebaik penilaian dibuat mereka diberi tempoh tiga hingga enam bulan untuk mengosongkan kediaman bagi pembinaan projek dan sehingga kini tiada perbincangan khusus atau notis yang sahih tentang jumlah pampasan atau penempatan baru kepada mereka.

Timbalan Pengerusi Penduduk Sungai Sireh, Azman Mohd Mah Husin berkata, berlaku kekeliruan dalam kalangan penduduk kerana kenyataan daripada kerajaan negeri dan pihak pentadbir di mana  selepas penilaian dibuat mereka diberi tempoh singkat untuk mengosongkan kediaman.

“Kami memerlukan satu jawpan yang tuntas daripada kerajaan negeri terutama daripada menteri besar untuk memeberi penjelasan kepada persoalan ini,” katanya.

Penduduk turut mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pernah memberi jaminan untuk menyediakan tanah lot namun sehingga kini mereka tidak terima sebarang pernjanjian hitam putih.

Seorang lagi penduduk, Safii Karian berkata,hanya menteri besar sahaja yang boleh menghilangkan keresahan penduduk perumahan itu.

“Kalau nak mainkan isu politik itu kami menafikan sekeras-kerasnya kerana penduduk di sini amat bersifat kemanusiaan.

“Kasihanilah kepada kami golongan marhaen yang perlu dibantu pihak berkenaan yang mempunyai kuasa yang kita tahu menteri besar sahaja yang boleh meredekan atau memberi satu jaminan kepada penduduk untuk hilangkan keresahan,” katanya.

Sementara itu, Amirudin ketika dihubungi berkata, sehingga kini kerajaan negeri belum membuat apa-apa proses pengambilan tanah selain mengesahkan tiada notis dikeluarkan oleh kerajaan negeri kepada penduduk.

“Saya pada bulan Februari ketika Jelajah Selangor Penyanyang telah menyatakan komitmen akan membela dan tidak ada siapa-siapa akan tertinggal sama ada isu pampasan ataupun penantian terhadap kawasan perumahan yang perlu dirobohkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here