Polis sifat bom di kereta Siti Kassim cubaan bunuh

0
149

POLIS menggiatkan siasatan terhadap kes penemuan bom buatan sendiri pada kereta milik peguam kontroversi, Siti Zabedah Kassim atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyifatkan penemuan objek itu sebagai satu jenayah serius.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, pihak polis juga sedang mengesan cap jari serta bukti-bukti berkaitan bagi siasatan lanjut dalam usaha menjejak pelakunya.

“Ini satu kesalahan serius, ancaman bom umpama cubaan membunuh.

“Pihak polis akan ambil tindakan agresif dalam siasatan ini. Jenayah sebegini tidak boleh dibiarkan kerana memberi peluang kepada individu tidak bertanggungjawab melakukan perkara sedemikian,” katanya ketika dihubungi semalam.

Susulan itu, Razarudin mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut dan kes berkenaan sedang diuruskan oleh Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 7 Akta letupan 1957.

“Semuanya masih dalam siasatan,” katanya.

Semalam, Amihizam mengesahkan objek mencurigakan yang ditemui di bahagian bawah kereta Siti Kassim adalah bahan letupan termampat (IED).

Bagaimanapun, polis belum dapat mengesahkan sama ada bahan letupan itu masih aktif atau sebaliknya.

Kelmarin, sepasukan pegawai Unit Pemusnah Bom (UPB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan ujian ke atas objek dalam dua botol plastik yang dipasang pada bahagian tayar belakang kereta Siti Kassim yang dihantar ke pusat servis di Jalan Maarof, Bangsar, di sini.

Siti Kasim mendakwa dua objek terbabit ditemukan dalam keadaan tersangkut di bahagian belakang tayar keretanya.

Wanita itu menghantar kenderaannya untuk diselenggara kerana akan ke Kelantan bagi membantu menyelesaikan isu Orang Asli di negeri itu. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here