Muhyiddin tegas tidak salah, sedia jumpa Anwar di mahkamah

0
148

TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak bersalah dan bersedia untuk berdepan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah berhubung isu pelupusan hutang peneroka FELDA.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau tidak takut Anwar Ibrahim walaupun disaman sebanyak RM200 juta.

“Hari ini (semalam) saya dapat berita Anwar Ibrahim saman saya RM200 juta. Tidak lain tidak bukan, ia membabitkan isu peneroka FELDA.

“Saya tidak takut terhadap Anwar, tidak mengapa, biar kita pergi mahkamah kerana saya tidak bersalah,” katanya ketika berucap di Program Munajat Rakyat Kelantan Pakat Pertahan dan Amanat Pimpinan di Stadium Sultan Muhammad IV, di Kota Bharu, malam tadi.

Yang turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Muhyiddin meminta maaf dan membayar pampasan RM200 juta kerana menjejaskan reputasi beliau berhubung dakwaan fitnah membabitkan isu pelupusan hutang peneroka FELDA.

Melalui jawapan terhadap surat tuntutan Muhyiddin menerusi firma guamannya SN Nair & Partners, menyatakan Anwar akan memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri itu jika tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh surat jawapan berkenaan.

Surat jawapan terbabit dialamatkan kepada firma guaman, Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership yang mewakili Muhyiddin.

Mengulas lanjut Muhyiddin turut menegaskan, Anwar tidak faham untuk membezakan antara penghapusan hutang dan sukuk.

Jelasnya, ketika beliau mentadbir kerajaan, masalah FELDA yang dialami termasuk terdapat pengurusan tidak cekap, pendapatan merosot sehingga hutang tidak boleh dibayar sehingga membabitkan jumlah hutang seluruh negara hampir RM12 bilion.

“Ketika itu kami mengambil keputusan membantu peneroka FELDA pada 2021 dengan menghapuskan hutang sebanyak RM8.3 bilion. Namun Perdana Menteri kata saya cakap bohong, sedangkan saya tidak pernah bohong kerana saya ada bukti.

“Saya kata Anwar, itu bon, yang ini penghapusan hutang, ia tidak sama,” katanya, lapor BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here