PRK Kuala Terengganu: PAS pertimbang cadangan calonkan Annuar

0
153

PAS akan mempertimbangkan semua cadangan berhubung calon Perikatan Nasional (PN) PRK Kuala Terengganu termasuk saranan mencalonkan Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mohd Zuhdi Marzuki berkata ketika ini PN belum memutuskan berhubung calon di kerusi berkenaan kerana perlu melalui pelbagai proses termasuk memperhalusi status penyandangnya Ahmad Amzad Hashim.

Beliau yang juga ahli Dewan Tertinggi MN yakin PAS dan PN akan mempertimbangkan cadangan pelbagai pihak termasuk bekas Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang menyarankan Annuar dicalonkan mengambil kira pengalaman bekas Ahli Parlimen Ketereh itu.

“Keputusan terakhir yang dibuat nanti setelah mempertimbangkan pelbagai pandangan tersebut,” katanya kepada FMT.

Pada 11 Jul lalu, Zuraida, bekas menteri PKR yang kini menyokong PN meminta gabungan itu memilih calon PRN dan PRK berdasarkan kelayakan bukan kedudukan atau hierarki dalam parti.

Beliau berkata semua pihak perlu mengenepikan perbezaan peribadi dan bersatu memilih calon boleh menang serta menjadi wakil rakyat yang baik.

Menurut Zuraida, Annuar yang baru menyertai PAS bulan lalu boleh menang mudah jika dipilih sebagai calon PN di Parlimen Kuala Terengganu.

Pada PRU15, Ahmad menang dengan majoriti 40,907 undi namun Mahkamah Pilihan Raya Terengganu, 27 Jun lalu membatalkan kemenangannya selepas mendapati wujud perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Susulan keputusan PAS tidak merayu keputusan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Kuala Terengganu diadakan serentak dengan PRN di negeri itu, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, dan Kelantan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here