PN Selangor dakwa lebih ramai ahli MIC keluar parti

0
160

PERIKATAN Nasional (PN) Selangor mendakwa lebih ramai ahli MIC akan keluar parti untuk menyokong gabungan itu.

“Semakin ramai ahli MIC terutama di Selangor tidak bersetuju dengan kepimpinan parti, memilih untuk keluar parti, seterusnya bersama PN bagi membela nasib kaum India.

“Pakatan Harapan pula dilihat sudah tidak lagi relevan untuk membawa suara kaum India kerana lebih banyak memberikan janji berbanding tindakan,” kata PN Selangor di Facebook.

Katanya, secara tradisi, kaum India pernah menjadi bank undi kepada Barisan Nasional (BN) apabila MIC menjadi payung yang bertanggungjawab menegakkan hak dan isu kaum India.

“Bagaimanapun, sejak 2008, selepas kejatuhan BN di Selangor, MIC kian kehilangan undi kaum India dan parti ini terus bergelut untuk memenangi hati kaum ini semula.

“Perkara ini berlaku akibat kesetiaan pengundi India ketika itu disalahgunakan menyebabkan kaum ini beralih sokongan,” katanya.

Awal bulan ini, sumber memberitahu FMT, PN dalam proses membentuk sebuah jawatankuasa dianggotai orang India sepenuhnya diketuai bekas pemimpin MIC, sebagai langkah menubuhkan parti baharu bangsa India dalam gabungan itu.

Sumber itu berkata, beberapa pemimpin berprofil tinggi MIC dijangka meninggalkan parti itu bagi mengetuai jawatankuasa tersebut.

Bulan lalu, bekas naib presiden MIC, C Sivaraj dan ketua Pemuda MIC Selangor P Punithan mengumumkan keluar parti.

Sivaraj berkata beliau mahu terus berkhidmat kepada komuniti India sebagai senator dan pemimpin tanpa sebarang sekatan “terutama daripada kepimpinan MIC”.

Katanya, beberapa insiden berlaku bawah kepimpinan Presiden MIC SA Vigneswaran yang menyebabkan beliau terpaksa melepaskan keahliannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here