‘Orang Kedah tidak terpengaruh propaganda’ – Sanusi

0
175

MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa rakyat Kedah tidak akan terpengaruh dengan propaganda lawan yang diwujudkan kepadanya dan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, cubaan-cubaan untuk memfitnah mereka di atas perkara yang sengaja diada-adakan itu dilakukan oleh pihak yang sanggup berbuat apa sahaja untuk kekal berkuasa.

Muhammad Sanusi berkata, beliau berkongsi kekuatan dan sokongan bersama ahli dan penyokong PN untuk terus mara bagi mempertahan dan memastikan enam negeri akan dipimpin gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Kalau dapat disaksikan sehari dua ini memang dibuat usaha bersungguh-sungguh untuk mengada-adakan termasuklah benda-benda yang kita tak tahu apa di bawah kementerian dia (Kementerian Dalam Negeri) di bawah Imigresen. 

“Semua di bawah kementerian dia tiba-tiba persoalan itu ditanya suruh kita jawab. Kita mana tau. Semua tanggungjawab dia, kita nak jawab macam mana benda yang kita tak tau,” katanya ketika berucap di hadapan penyokongnya di Sri Mentaloon. 

Muhammad Sanusi dipercayai merujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mempersoalkan siapa lelaki warga China yang ditahan di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE).

Terdahulu, lebih 1,000 penyokong berhimpun di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini bagi menyambut kepulangan Muhammad Sanusi selepas beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, pagi ini.

Dalam pada itu, beliau meminta penyokong PN untuk menjaga disiplin dan kesihatan agar mereka kekal sihat dalam tempoh ini sebelum keluar mengundi pada PRN, 12 Ogos ini.

“Insya-Allah banyak program besar dan projek-projek utama yang akan memberi impak tinggi kepada kita. Kalaulah negeri ini terlepas kepada tangan-tangan orang gila, tak tahu apa-apa. Dah lapan bulan kita tak nampak apa lagi. 

“Sekarang ini telah dipopularkan satu istilah kakistokrasi iaitu sebuah kerajaan oleh orang-orang yang lemah dan tidak berkemampuan untuk mentadbir,” katanya lapor Utusan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here