‘Kali ini saya rakam’, Chegubard ke SPRM semula serah laporan

0
147

AHLI Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard sekali lagi hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya hari ini untuk menyerahkan laporan berhubung dakwaan pemilikan kediaman mewah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sungai Long, Kajang.

Semalam, SPRM mendedahkan belum menerima aduan rasmi daripada Chegubard selepas beliau mengadakan sidang media di ibu pejabat SPRM 11 Julai lalu.

Chegubard berkata, laporan itu diserahkan kepada Pegawai SPRM bernama Hung Heng Hong.

“Pagi ini saya tampil sekali lagi ke SPRM untuk hantar sekali lagi laporan. Kali ini saya rakam semua dengan video dan laporan diterima oleh Penguasa Hung Heng Hong bagi pihak SPRM,” katanya dalam kenyataan lapor FMT.

Selasa lalu media melaporkan Chegubard hadir ke pejabat SPRM Putrajaya, menggesa pihak berkuasa menyiasat pemilikan kediaman mewah perdana menteri di Sungai Long.

Beliau menggesa SPRM menyiasat perdana menteri dan mendakwa rumah didiami Anwar adalah milik “tauke Cina yang penuh misteri”.

Dalam sidang media diadakan selepas laporan di ibu pejabat SPRM itu, Chegubard turut membangkitkan isu Anwar menggunakan beberapa kereta mewah yang didakwa bukan milik pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Sankara Nair, peguam kepada Anwar kemudian menjelaskan rumah di Kajang yang dikaitkan milik taikun Cina sebenarnya aset pajakan selama 10 tahun pada 2020 hingga 2030, sebelum beliau menjadi perdana menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here