Warga emas ditahan pukul ibu berusia 91 tahun

0
173

POLIS menahan seorang lelaki warga emas kerana memukul ibunya yang berusia 91 tahun sehingga cedera di muka dalam kejadian di sebuah rumah panjang di Selangau.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 60 tahun itu ditahan pukul 3 petang semalam.

“Penahanan suspek dibuat selepas kejadian itu dilaporkan di Balai Polis Selangau pada 11 malam, 14 Julai lalu.

“Tangkapan sudah dibuat dan kes masih dalam siasatan.

“Mangsa juga sudah diberi rawatan di Klinik Kesihatan Selangau dan kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

“Polis turut mengesan video berdurasi 26 saat yang tular di Facebook semalam memaparkan suspek memukul mangsa menggunakan tangan,” katanya, lapor Harian Metro.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here