MyCC bantah kenaikan yuran guaman pindah hak milik

0
124

SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) membantah kenaikan yuran guaman membabitkan pemindahan hak milik dalam keadaan rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

Pengerusi MyCC, Datuk Seri Hishamudin Yunus, berkata walaupun Seksyen 13, Akta Persaingan 2010 mengecualikan perintah pindaan daripada pemakaian akta itu, tindakan yang diambil oleh Majlis Peguam adalah bertentangan prinsip persaingan.

“Kenaikan yuran guaman ini bukan yang pertama kerana Majlis Peguam sebelum ini pernah meningkatkan yuran guaman untuk pemindahan hak milik melalui Perintah Saraan Peguam Cara (Pindaan) 2017,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, MyCC juga mengambil tindakan proaktif dalam menangani isu membabitkan isu yuran tetap oleh badan profesional sejak 2013.

Katanya, selain itu pihaknya mahu memberi tumpuan kepada Majlis Peguam yang dilihat boleh menjadi ikutan kepada badan profesional lain jika mereka setuju menghapuskan penetapan yuran guaman bagi pemindahan hak milik.

“Pendekatan diambil MyCC sejajar dengan amalan negara maju seperti United Kingdom, Singapura, dan Australia, di mana badan profesional termasuk Majlis Peguam mereka tidak lagi mengamalkan penetapan yuran.

“Pandangan MyCC ini juga disokong oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) yang sebelum ini pernah beberapa kali membincangkan isu berkenaan penetapan yuran guaman dalam mesyuarat mereka yang lepas,” katanya.

Menurutnya, penetapan yuran guaman itu dilihat tidak konsisten, terutama apabila mengambil kira yuran litigasi di Malaysia tidak tertakluk kepada kadar tetap sambil menambah tindakan tersebut dilihat bertentangan dengan usaha kerajaan membantu rakyat mampu memiliki rumah sendiri.

“Inisiatif kerajaan melalui Memorandum Pemindahan (MOT) dan pelepasan atau diskaun cukai setem, pelepasan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT), dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), selain dari dilaksanakan untuk menggalakkan industri perumahan, ia juga bertujuan mengurangkan impak kenaikan kos sara hidup kumpulan yang disasarkan,” katanya menurut FMT.

Hishamudin berkata, MyCC juga mengimpikan untuk mewujudkan struktur yuran lebih fleksibel bertepatan amalan terbaik antarabangsa dan percaya pengguna akan dilindungi dengan lebih baik apabila variasi terhadap dasar industri mengambil kira prinsip persaingan.

“Kami mengakui bahawa usaha kami sebelum ini untuk memujuk Majlis Peguam tidak berjaya. Namun, kami ingin menyeru Majlis Peguam dengan penuh hormat untuk mempertimbangkan semula, atau sekurang-kurangnya, menangguhkan pelaksanaan perintah pindaan ini dan meneruskan balik perbincangan dengan kami,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here