Dakwaan rumah Anwar milik tauke Cina, SPRM belum terima aduan Chegubard

0
145

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan belum menerima aduan rasmi daripada Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard berhubung dakwaannya terhadap pemilikan kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sungai Long, Kajang.

Sumber SPRM itu berkata, Chegubard menyatakan hasrat menyerahkan memorandum Selasa lalu di pondok keselamatan SPRM Putrajaya selepas sidang media, namun enggan masuk ke dalam premis selepas diminta untuk proses penyerahan.

“Individu tersebut enggan masuk dan maklumkan akan menyerahkan maklumat secara pos.

“Setakat ini SPRM belum menerima sebarang aduan rasmi atau memorandum daripada individu tersebut,” menurut sumber itu, lapor FMT.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi turut mengesahkan pihaknya belum menerima aduan rasmi daripada Chegubard atau mana-mana pihak.

Selasa lalu media melaporkan, Chegubard hadir ke pejabat SPRM Putrajaya menggesa pihak berkuasa menyiasat pemilikan kediaman mewah Perdana Menteri di Sungai Long.

Beliau menggesa SPRM menyiasat Perdana Menteri dan mendakwa rumah yang didiami Anwar adalah milik ‘tauke Cina yang penuh misteri’.

Dalam sidang media diadakan selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM, Badrul turut membangkitkan isu Anwar menggunakan beberapa kereta mewah yang didakwa bukan milik pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Sankara Nair, peguam kepada Anwar kemudian menjelaskan rumah di Kajang yang dikaitkan milik taikun Cina sebenarnya aset pajakan selama 10 tahun pada 2020 hingga 2030, sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here