Bekas penyampai radio Ismahalil bebas, terlepas hukuman mati

0
186

BEKAS penyampai radio, Ismahalil Hamzah terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin membebaskannya daripada satu tuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram, dua tahun lalu.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas Ismahalil, 50, berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam kes ini, pembelaan diwakili peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain Zulkafli sementara pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad.

Sejurus keputusan diketahui, Ismahalil yang memakai baju T dan berkopiah putih, terperosok ke bawah kerusi di kandang tertuduh lapor Sinar Harian.

Pada 6 September 2021, dia didakwa kali pertama di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan berkenaan.

Pada 21 Februari tahun lalu, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pada 27 Februari lalu, Ismahalil menangis sambil memandang ke arah isteri dan anak-anaknya, selepas mahkamah memerintahkan dia membela diri atas tuduhan tersebut.

Akan menyusul

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here