Ahli akar umbi UMNO nyatakan sokongan untuk menangkan PN – Faizal Azumu

0
131

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa ramai pemimpin dan ahli akar umbi UMNO menzahirkan sokongan kepada PN untuk membantu memenangkan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden BERSATU, berkata mereka menyatakan sokongan itu ketika bertemu dalam siri jelajah ke seluruh Negeri Sembilan sebagai persiapan menghadapi PRN, 12 Ogos depan.

“Pemimpin dan ahli UMNO yang saya temui meminta saya supaya mencari jalan untuk memastikan PN menang ke enam-enam negeri ini.

“Saya terkejut, mereka minta jentera PN bekerja kuat supaya menang di enam negeri. Semua lahirkan sokongan. Saya jumpa ketua UMNO cawangan, ketua wanita UMNO cawangan, ketua pemuda UMNO bahagian, mereka sedang bantu kita berkempen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Nismilan Kito Ubah PN Rembau di Taman Senawang Perdana, di Rembau, malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PN negeri merangkap Pesuruhjaya PAS negeri, Rafiei Mustapha; Timbalan Pengerusi PN merangkap Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin, Pengerusi PN Rembau, Nazree Mohd Yunus dan bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya yang kini ahli BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Ahmad Faizal berkata, potensi PN untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan pada PRN kali ini cukup tinggi.

“Kita tidak bermusuh dengan UMNO, tetapi kita bermasalah dengan presiden dan pemimpin UMNO yang sanggup memperkudakan parti itu untuk kepentingan mereka sendiri,” dakwanya, lapor BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here