Kerusi DUN Lenggeng milik Amanah bukan BN – MK Ibrahim

0
171

PARTI Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan menegaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng milik parti itu dan bukannya Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman berkata, ini kerana Pakatan Harapan (PH) dan BN telah bersetuju yang prinsip pembahagian kerusi dibuat secara status quo.

“Jika ada perubahan sekali pun ia semestinya diputuskan dalam Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan dan kemudian akan dimaklumkan kepada ketua setiap parti.

“Jadi buat masa ini kita tetap dengan pendirian yang Amanah akan bertanding kerusi DUN Lenggeng kerana secara prinsipnya semua parti telah bersetuju pembahagian kerusi dibuat secara status quo,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Kata beliau, pihaknya sudah pun merujuk dengan Presiden Amanah, Datuk Mohamad Sabu berhubung perkara itu dan turut mengesahkan Amanah akan bertanding mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Jelasnya, tiga kerusi berkenaan adalah di DUN Lenggeng, Kuala Klawang dan Paroi.

Penyokong BN pekik ‘pakatan hancing’ manakala penyokong PH jerit ‘hancur BN’ semasa kedua-dua pihak itu bergaduh di pusat pengundian SJKC Chung Hua, Rantau, pada 2019 dan keadaan tegang selama 10 minit

Malah katanya, parti juga telah menamakan calon di tiga DUN berkenaan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Beliau turut meluahkan rasa kesal dengan pengumuman yang dibuat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat keputusan memberikan kerusi itu kepada UMNO.

“Bagi saya itu kenyataan provokasi dan boleh mengundang persepsi tidak baik terhadap PH dan BN yang seolah-olah menunjukkan kita berpecah-belah. Semestinya ia akan diambil kesempatan oleh pihak lawan.

“Selagi bukan Perdana Menteri yang umumkan, saya tidak akan percaya yang kerusi Lenggeng diberi kepada UMNO,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Amanah Negeri Sembilan bertanding di tiga kerusi DUN termasuk Lenggeng selepas diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Amanah.

Semalam, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Bahagian Angkat Pilihan Raya Negeri Sembilan di Kuala Pilah berkata, BN Negeri Sembilan akan bertanding di 17 kerusi DUN termasuk satu kerusi tambahan di Lenggeng.

Katanya, 16 kerusi berkenaan adalah kerusi yang dimenangi BN pada PRU14 yang lalu manakala Pakatan Harapan (PH) 19 kerusi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here