PRN: MUDA umum empat calon tanding di Selangor

0
181

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengumumkan empat calon muka baharu untuk kumpulan pertama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, 12 Ogos ini.

Pengarah Pilihan Raya MUDA, Loqman Long, berkata Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abd Hadi diumumkan akan bertanding sebagai calon DUN Seri Serdang (N29), manakala Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen akan bertanding N41 DUN Batu Tiga.

“MUDA juga menampilkan dua lagi calon wanita iaitu R Thanusha yang akan bertanding di DUN Sentosa, manakala DUN Bukit Antarabangsa (N19) MUDA menampilkan Melanie Ting Yi Hlin sebagai calon di kawasan berkenaan.

“MUDA sentiasa fokus kepada politik pro-rakyat dan mengangkat dasar berteraskan idea,” katanya pada sidang media khas Pengumuman Calon MUDA Kumpulan Pertama dan Sidang Media Calon PRN 2023 di Bilik Gerakan Utama MUDA di Kuala Lumpur, hari ini.

Loqman berkata, pengumuman calon MUDA yang lain akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Saya menjangkakan pada Isnin hadapan untuk mengumumkan calon kumpulan kedua, kumpulan ketiga pada hari seterusnya dan cuba untuk memuktamadkan semua calon MUDA pada minggu hadapan,” katanya.

Sementara itu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam ucapan ringkasnya, berkata MUDA yakin jika calon-calon berkenaan diberi mandat, mereka akan memainkan peranan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan.

“MUDA berharap bahawa rakyat memberi peluang calon-calon berkenaan kerana mereka datang daripada pelbagai latar belakang profesional dan sudah mempunyai politik khidmat yang baik.

“Pada masa sama, mereka adalah wakil kepada rakyat yang telah ditapis dan sudah melalui proses yang agak ketat untuk bertanding dalam PRN,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here