PN Perak gesa Guan Eng disiasat di bawah SOSMA

0
129

PERIKATAN Nasional (PN) Perak menggesa Lim Guan Eng disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berikutan kenyataan biadapnya yang menyentuh isu berkaitan agama, Raja dan kaum.

Ketua Pemuda PN Perak, Mohd. Hafez Sabri berkata, kenyataan Pengerusi DAP itu yang mendakwa gelombang hijau bakal memusnahkan tokong dan bukan Islam berdepan pelbagai sekatan merupakan satu provokasi melampau dan berunsur fitnah.

Malah katanya, tindakan Guan Eng itu juga disifatkan sebagai terdesak bukan sahaja untuk menjatuhkan pihak lawan malah menakutkan kaum bukan Melayu terhadap Pas dan PN.

“Kami mengecam penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Guan Eng di mana PN akan memusnahkan tokong jika berjaya memerintah Pulau Pinang.

“Kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi DAP itu bercanggah dengan kenyataan pemimpin Kerajaan Perpaduan yang kononnya lantang dalam isu yang menyentuh agama, Raja dan kaum,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Menurut Hafez, tindakan tegas perlu diambil terhadap Ahli Parlimen Bagan itu berikutan kenyataan beliau boleh mencetuskan api perkauman dan perbalahan antara kaum.

Katanya, ucapan Guan Eng juga tersasar jauh dan jelas merupakan satu agenda jahat untuk menakut-nakutkan orang bukan Melayu.

“Gambaran yang diberikan juga adalah salah sedangkan negara kita ada peraturan dan undang-undang. Sebagai rakyat Malaysia, kita sangat sensitif apabila ada pihak yang cuba membangkitkan api perkauman seperti itu.

“Siasatan segera perlu dijalankan walaupun Guan Eng cuba ‘spin’ semula kenyataanya. Guan Eng patut dikenakan tindakan SOSMA disebabkan kenyataan melampaunya itu,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan yang Guan Eng memberi amaran terhadap pengundi Pulau Pinang supaya mereka menyekat kemasukan ‘gelombang hijau’ di negeri tersebut.

Bekas Menteri Kewangan itu dikatakan mendakwa ‘gelombang hijau’ akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

Walau bagaimanapun, Guan Eng berkata, kenyataannya sengaja diputarbelit bagi menggambarkan sentimen perkauman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here