Harga barang dijangka naik 20 peratus bermula Ogos

0
104

HARGA barangan pengguna dijangka meningkat sehingga 20 peratus menjelang Oktober tahun ini dengan didorong dua faktor utama iaitu inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan di Malaysia.

Utusan Malaysia melaporkan, Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI), Nivas Ragavan berkata, pihaknya mengesan peningkatan 20 peratus kos pengeluaran dan operasi dalam kalangan ahli KLSICCI sejak Januari lalu.

Katanya, peningkatan kos itu ekoran kemerosotan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sehingga mendorong berlaku inflasi import pada kadar tinggi.

“Sejak Januari sehingga Julai tahun ini, kejatuhan ringgit bermula pada kadar RM4.20 berbanding dolar AS dan sekarang RM4.60 berbanding dolar. Peningkatan sebanyak 10 peratus berlaku terhadap kemerosotan ringgit berbanding dolar AS.

“Sudah pasti ia meningkatkan kos pengeluaran. Sepanjang rantaian bekalan sudah menyaksikan peningkatan kos dan akhirnya, kesan ini akan mengakibatkan produk pengguna di rantaian terakhir bekalan turut meningkat. Maka, pengguna akan menghadapi kesan inflasi import apabila harga barangan naik,” katanya di sini, semalam.

Untuk rekod, Oxford Reference mentakrifkan inflasi import sebagai inflasi akibat kenaikan harga import. Menurut laman web itu, kenaikan harga produk akhir yang diimport secara langsung mempengaruhi sebarang ukuran inflasi berasaskan perbelanjaan.

Mengulas perkara itu, Nivas berkata, peningkatan harga barangan di peringkat pengguna akan mula berlaku pada suku ketiga tahun ini pada kadar 20 peratus.

“Jika sebelum ini kamu perlu bayar RM100,000 untuk import (satu-satu barangan), sekarang kamu perlu bayar RM120,000 hingga RM130,000 untuk import barangan yang sama.

“Kesannya, harga barangan peringkat pengguna pun akan naik dan saya menjangkakan pada suku ketiga tahun ini, harga barangan pengguna meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus. Jika sebelum ini ada satu produk dijual pada RM10, ia akan meningkat kepada RM12 hingga RM12.50 sekurang-kurangnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin yang dihubungi berkata, kenaikan harga barangan dijangka mula berlaku Ogos dan September tahun ini.

“Saya menjangkakan harga barangan peringkat pengguna meningkat lima hingga 10 peratus. Lazimnya produk yang diimport memerlukan masa untuk sampai ke negara ini. Jadi saya jangkakan menjelang Ogos atau September peningkatan harga peringkat pengguna itu mungkin mula berlaku,” katanya

Ameer berkata, kenaikan harga barangan juga berpunca akibat peningkatan kos operasi dalam pelbagai sektor pengeluaran susulan polisi kerajaan menaikkan kadar gaji minimum.

“Peningkatan harga barangan peringkat pengguna ini bukan saja didorong faktor kelemahan ringgit berbanding dolar dan inflasi import. Ia juga akibat kos menjalankan perniagaan di Malaysia sudah meningkat.

“Ini termasuk gaji minimum yang naik, bil utiliti naik dan lain-lain lagi. Apabila kos menjalankan perniagaan meningkat, sudah tentu ia akan meningkatkan kos pengeluaran dan akhirnya harga barangan peringkat pengguna,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here