Didakwa hina Sultan Johor, penganggur mengaku tak salah

0
96

SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan membuat komunikasi jelik menghina Sultan Johor dan keluarga diraja Johor, dua tahun lepas.

Mengikut kedua-dua tuduhan, Reymi Abdul Rahim, 43, didakwa secara sedar membuat komunikasi jelik terhadap Sultan Johor dan keluarga diraja Johor menerusi akaun Twitter miliknya dengan niat menyakiti hati orang lain.

Kedua-dua hantaran itu dibaca oleh seorang pengguna akaun Twitter pada 12 tengah hari, 8 Okt 2021 di sebuah pejabat di Kota Southkey, Johor Bahru.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu, selepas sabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S. Thiviya menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua tuduhan terhadap Reymi.

Peguam yang mewakili tertuduh, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nurhazneena Zureen Mohamad Hanafiah, memohon agar jaminan dikurangkan kerana tertuduh tidak bekerja dan masih menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail kerana mempunyai skizofrenia dengan kemurungan.

Hakim V.M. Mabel Sheela menetapkan wang jaminan RM4,500 untuk kedua-dua tuduhan dengan seorang penjamin, serta mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Kes akan disebut semula pada 21 Ogos ini untuk serahan dokumen. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here