PAS tak rayu keputusan petisyen Parlimen Kuala Terengganu

0
139

PAS tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu, kata Setiausaha Agung Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, walaupun keputusan mahkamah tidak menyebelahi PAS, namun parti itu bersedia menghadapi PRK Parlimen Kuala Terengganu.

“Kes Kuala Terengganu kita tidak akan rayu, kita sedia menghadapi pilihan raya sekali lagi,” katanya menurut Harakahdaily.

“Kalau nak pertikaikan keputusan, boleh sangat, Presiden Umno (Zahid Hamidi) menang 300 undi, kita tidak buat petisyen pun, sedangkan di Kuala Terengganu kita menang lebih 30,000, mereka masih tidak puas hati lagi.”

Beliau berkata demikian pada majlis dialog isu semasa anjuran PAS Kota Bharu di Kota Bharu Trade Center (KTC) malam tadi.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan calon PAS Datuk Ahmad Amzad Hashim di Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Firuz Jaffril, membenarkan petisyen pilihan raya difailkan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zubir Embong, selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

Mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar kos RM50,000 kepada pempetisyen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here