Masa Depan Kampung Sungai Penchala: Antara Pembangunan dan Warisan

0
325

OLEH MAHATHIR MOHD RAIS

KAMPUNG Sungai Penchala, salah satu dari enam kampung Melayu yang masih kekal di Kuala Lumpur, sedang berada di ambang perubahan yang besar. LBS Bina Group Bhd, melalui anak syarikat mereka Sejuta Bina dan Saga Tunas berhasrat untuk melaksanakan projek pembangunan berskala besar di atas enam bidang tanah rizab Melayu seluas 2.82 hektar. Perkara ini menimbulkan gelombang tanda tanya dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat.

Seperti yang kita sedar, pembangunan tidak hanya merangkumi pembinaan infrastruktur fizikal, tetapi juga mewujudkan nilai sosial dan budaya yang berkelanjutan. Bagi Kampung Sungai Penchala, ini lebih bermakna kerana ia adalah tempat yang menggambarkan kekayaan budaya dan sejarah Melayu.

Persoalanya bagaimana dapat kita memastikan perkembangan ini merangsang pertumbuhan dan pembaharuan, bukan hanya pada tahap ekonomi, tetapi juga secara sosial dan budaya. Apa sebenarnya yang kita ingin lihat di Kampung Sungai Penchala dalam jangka masa lima, sepuluh, atau 50 tahun yang akan datang?

Perkembangan infrastruktur adalah penting, tetapi ia perlu diimbangi dengan pemeliharaan dan pemuliharaan sejarah dan budaya. Kampung ini memerlukan pemulihan infrastruktur yang lebih bersepadu, melibatkan sistem bekalan air, elektrik dan jalan raya. Sehingga hari ini, kampung ini tidak mempunyai loji rawatan kumbahan. Ditambah pula dengan isu kesesakan lalu-lintas dan kurangnya tempat letak kereta.

Adakah pihak pemaju akan memperbaiki keadaan ini, atau hanya menambah beban kepada sistem yang sudah sedia terbeban. Ini adalah komponen asas bagi mana-mana pembangunan, kegagalan merancang dan melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan dapat membawa kepada masalah seperti banjir dan pencemaran.

Selain itu, kita perlu membincangkan kepentingan memelihara budaya dan sejarah Melayu dalam konteks pembangunan ini. Tanah “rizab Melayu”, berdasarkan undang-undang, hanya boleh dimiliki oleh bumiputera Melayu. Ini bukan sahaja menunjukkan hak dan warisan bumiputera, tetapi juga memperlihatkan satu peluang untuk membina model pembangunan yang inovatif dan inklusif.

Adakah kita mampu mencipta pembangunan yang mampu memupuk dan mempromosikan warisan Melayu, sambil memastikan peningkatan ekonomi dan keselesaan moden? Adakah kita mampu membina model pembangunan yang sejajar dengan estetika dan nilai-nilai kampung warisan, sambil menawarkan kemudahan dan teknologi moden yang sesuai dengan abad ke-21?

Selain itu, mengapa tiada perbincangan diadakan dengan penduduk setempat dan persatuan penduduk? Pemegang taruh seperti kariah masjid, surau, dan sekolah juga mesti diberikan suara dalam proses ini. Adakah suara mereka akan diambil kira? Adakah mereka berpeluang untuk berkongsi visi dan harapan mereka untuk masa depan kampung mereka? Pelbagai cadangan seperti medan selera, padang bola, tempat rekreasi, dan dewan serba guna bagi kegunaan masyarakat pernah disuarakan sebelum ini namun tidak mendapat sebarang reaksi dari pihak berkuasa tempatan.

Suara-suara bimbang

Ramai yang menyuarakan kebimbangan berkaitan densiti projek ini. Berapa ramai orang dijangka akan menempati setiap ekar tanah? Berapa tinggi bangunan yang akan dibina? Adakah maklumat ini telah dinyatakan dengan jelas dalam pelan pembangunan yang dicadangkan dan adakah ia sesuai dengan gaya hidup masyarakat kampung?

Mantan pengerusi dan penasihat kepada persatuan penduduk dan Masjid Kampung Sungai Penchala Abul Hasan Muhibin Nur ada memberikan beberapa cadangan progresif, seperti penubuhan sebuah badan seperti UDA Holdings Berhad dan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) dengan dana kerajaan untuk memimpin pembangunan ini. 

Beliau melihat adanya keperluan agar pembangunan dijalankan hanya di jalan utama di kawasan kampung, dan bangunan yang dibina tidak melebihi enam tingkat, dengan pemilik tanah diberikan tempoh pembayaran balik antara tujuh hingga sepuluh tahun. Idealnya, kerajaan harus memperuntukkan dana khas untuk pembangunan kampung Melayu, terutamanya kerana mereka berada dalam Wilayah Persekutuan.

Sebagai tambahan, pembangunan ini juga membawa isu tentang hak tanah dan siapa yang sepatutnya memiliki tanah tersebut. Banyak suara yang berbicara tentang “tanah rizab Melayu”, namun masih ada dua sistem yang berlaku – pajakan dan kekal. Ini menimbulkan pertanyaan: mengapa ada ketidakseimbangan dalam sistem ini? Mengapa enam Kampung Melayu, termasuk Kampung Sungai Penchala, masih berada dalam dua taraf, yakni kekal dan pajakan? 

Siapakah yang sebenarnya menjaga hak-hak orang Melayu dalam konteks ini? Seharusnya, tanah rizab Melayu ini perlu dikekalkan dan tidak disewa dalam geran. Ini bukan sahaja memastikan keberlangsungan budaya dan warisan Melayu, tetapi juga mengelakkan pengeksploitasian terhadap hak bumiputera.

Dalam konteks ini, kita mesti menjadikan “tanah rizab Melayu” bukan sebagai penghalang, tetapi sebagai peluang untuk menghidupkan semula warisan kita bagi membentuk masa depan anak bangsa. Kita perlu membina pembangunan yang bukan sahaja membawa keuntungan ekonomi, tetapi juga memelihara dan mempromosikan warisan budaya dan sejarah Melayu.

Sebagai kesimpulan, pembangunan ini harus dipandang sebagai peluang untuk memperbaiki dan memperkukuh infrastruktur Kampung Sungai Penchala, dengan menjaga keseimbangan antara keperluan moden dan kepentingan pemeliharaan warisan sejarah dan budaya.

Mahathir Mohd. Rais
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah, Mahathir Mohd. Rais

Oleh MAHATHIR MOHD RAIS Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan.

Tulisan di atas tidak semestinya mencerminkan pendirian SatuBerita.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here