Dominic Lau dijangka berdepan 3 pencabar dalam Pemilihan Gerakan

0
122

RUNDINGAN yang dijalankan secara dalaman bagi memastikan Datuk Dr. Dominic Lau kekal dengan jawatan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tanpa perlu bertanding dalam pemilihan parti itu nampaknya menemui kegagalan.

Setakat ini dijangkakan ada sekurang-kurangnya tiga nama akan mengemukakan borang pencalonan esok untuk mencabar Lau.

Mereka ialah Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Lau Hoi Keong, Pengerusi Gerakan Melaka, Michael Gan, dan Bekas Setiausaha Agung parti itu, Liang Teck Meng.

Malaysiakini difahamkan sebelum ini terdapat percubaan untuk meyakinkan ketiga-tiga mereka agar bekerjasama dengan membentuk satu pasukan bagi meningkatkan peluang mereka untuk berjaya dalam pemilihan.

Ketika dihubungi semalam, Hoi Keong mengesahkan beliau akan mencabar Lau.

Beliau juga mengumumkan penyandang setiausaha agung parti berkenaan, Mak Kah Keong, sebagai pasangannya.

sementara itu, Gan memberitahu Malaysiakini bahawa beliau sudah menjadikan Timbalan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Kiew Hen Chong, sebagai regunya.

Gan berkata, jika dipilih sebagai Presiden parti, beliau tidak akan mengubah strategi parti terbabit untuk menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang.

“Jika saya dipilih, saya akan kekalkan keputusan yang dibuat dan calon. Tiada masalah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Gan turut berjanji akan menjemput Lau untuk membantunya semasa pilihan raya negeri.

Sebelum ini, Lau yang mengetuai Gerakan sejak 2018 memberitahu Malaysiakini beliau mengekalkan penyandang Timbalan Presiden, Oh Tong Keong, sebagai pasangannya.

Sementara itu Liang tidak mendedahkan siapa tokoh yang menjadi regunya dalam pemilihan kali ini.

Lau akan mempertahankan jawatan Presiden parti buat pertama kali apabila parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu mengadakan pemilihan pada 15 Julai ini.

Ia menarik perhatian kerana seseorang yang menjadi presiden akan mempunyai kuasa besar untuk menentukan senarai calon bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri pada 12 Ogos ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here