Altimet, Hans sama-sama minat jadi calon PRN

0
191

DUA selebriti terkenal yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada tahun lalu menyatakan secara terbuka minat masing-masing untuk dicalonkan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Bagaimanapun di sebalik ‘persaingan’ tersebut Altimet dan Hans Isaac menyatakan mereka terbuka dengan pelbagai kemungkinan termasuk diketepikan kali ini.

Bagi mereka, nasib dan masa depan mereka dalam politik khususnya pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini terletak di tangan pucuk pimpinan parti.

Atimet berkata, memang berminat untuk bertanding sebagai calon tetapi pada masa sama beliau tetap akur terhadap ketentuan takdirnya pada qada dan qadar.

Ketua PKR Ampang itu berkata, sebagai orang yang masih baru dalam politik kepartian, keputusan sama ada akan menjadi calon atau tidak sepatutnya diputuskan tidak lama lagi.

“Saya tak tahu apa-apa lagi keputusan setakat ini. Sebagai orang baru dan tak ada jawatan tinggi, bukan hak saya untuk beri kata putus, tapi mereka (pemimpin parti) tahu saya tinggal di Bukit Antarabagsa.

“Sebagai orang Islam, saya percaya qada dan qadar. Kalau tak dipilih tentu ada sebabnya. Jadi jika sekiranya tak dipilih, itu tak mengapa,” katanya kepada Malaysiakini.

Altimet, 45, juga menegaskan selain berminat menjadi calon dia juga sudah membuat persediaan jika terpilih, namun tidak dapat memberikan penjelasan di mana dia mungkin dicalonkan.

“Saya ikut (keputusan pucuk pimpinan) saja,” katanya.

Sementara itu ditanya kemungkinan beliau akan bersaing sekali lagi dengan Hans Isaac kali ini untuk menjadi calon PRN, seniman bernama asal Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata, hal tersebut tiada dalam pengetahuannya.

Kata penyanyi Amboi dan Kalau Aku Kaya itu dia tidak pasti siapa lagi yang berminat untuk menjadi calon dalam kawasan berkenaan.

“Tapi kalau ada orang lain yang berminat, kita biarkan pucuk pimpinan putuskan,” ujarnya.

Untuk rekod sebelum ini Altimet dan Hans Isaac pernah bersaing apabila kedua-dua mereka bertanding untuk mengisi jawatan ketua cabang PKR di Ampang.

Altimet akhirnya diumum sebagai pemenang sekali gus mengetepikan bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu serta tiga calon lain.

Bagaimanapun undian menunjukkan Hans Isaac hanya dibezakan dengan sembilan undi berbanding Altimet yang memperoleh 743 undi.

Di sebalik kekalahan itu Hans Isaac berjaya menempatkan dirinya sebagai seorang anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR untuk sesi 2022-2025.

Penyanyi rap itu memperoleh 720 undi dalam pemilihan yang diadakan pada Julai tahun lalu.

Menurut Altimet sejak menjadi ketua cabang di Ampang selama sembilan bulan, beliau bekerja sebagai penyelaras bagi kawasan DUN Lembah Jaya yang merupakan salah satu kawasan terletak di bawah parlimen Ampang.

Tanggungjawab itu pun, katanya, boleh diibaratkan sebagai seorang wakil rakyat kepada parti kerajaan.

“Cuma saya tak pergi DUN dan tiada gaji penuh. Fokus saya banyak ditumpukan pada masalah akar umbi dan menyalurkan bantuan serta memaklumkan skim-skim kerajaan Selangor kepada rakyat,” katanya.

Lembah Jaya dimenangi Pakatan Harapan (PH) dalam PRU ke-14 pada 2018 melalui calon gabungan itu, Haniza Talha.

Bagaimanapun pada 2020 Haniza meninggalkan PKR untuk mengikuti jejak langkah Datuk Zuraida Kamaruddin yang menjadi Ahli Parlimen Ampang ketika itu.

Kata Altimet, semasa PRU lalu beliau menolak untuk menjadi calon kerana beranggapan dirinya masih belum bersedia.

Sementara itu Hans Isaac menafikan sedang giat melobi untuk menjadi calon seperti sangkaan sesetengah pihak.

Pun begitu pelakon dan pengarah terbabit menjelaskan, beliau bersedia untuk diturunkan sebagai calon parti jika dirasakan sesuai oleh pucuk pimpinan.

“Semua orang tahu saya mahu bertanding di (Parlimen) Ampang (pada PRU lalu) tapi kerusi tersebut diberikan kepada YB Rodziah (Ismail) dan saya menyokong dia hingga akhir (menang),” katanya.

Dihubungi Malaysiakini Hans Isaac berkata, dalam keadaan tidak mendapat apa yang diingini itu pun dia tetap memberikan sokongan kepada calon yang dinamakan parti.

Justeru dalam PRN mendatang, kata pelakon filem J Revolusi itu, sikap itu akan dikekalkan iaitu menyokong penuh sebarang keputusan pemimpin tertinggi parti.

“Saya berkhidmat selama tiga tahun di Ampang dan sekiranya diberikan peluang (bertanding), saya bersedia.

“Saya sentiasa meletakkan parti dan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here