Tengku Zafrul tidak bertanding PRN Selangor?

0
167

AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dilaporkan tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan, di sebalik spekulasi beliau antara pilihan sebagai menteri besar Selangor.

Satu sumber dalaman parti memberitahu portal FMT bahawa menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu memaklumkan perkara berkenaan pada pertemuan pemimpin tertinggi di Selangor serta Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

“Dalam pertemuan itu, beliau menyatakan tidak berhasrat untuk bertanding… dipercayai mahu tumpu tugas sebagai menteri,” menurut sumber.

“Persoalan beliau akan jadi menteri besar Selangor jika BN dan PH menang tidak lagi berbangkit.”

Menurut sumber itu lagi, perkembangan ini mengurangkan kebimbangan PH tentang jawatan menteri besar, memandangkan Selangor dikuasai gabungan berkenaan sejak 2008.

Naib Presiden PKR Amirudin Shari memegang tampuk kerajaan negeri sejak 2018 hingga DUN dibubarkan 23 Jun lalu.

Spekulasi Zafrul mengintai peluang bertanding PRN di Selangor bertiup kencang apabila beliau berpindah bahagian dan menang jawatan ketua Umno Kota Raja tanpa bertanding pada pemilihan parti Mac lalu.

Menurut laporan media, Umno Kota Raja sendiri memohon pimpinan BN-PH mempertimbangkan Zafrul sebagai calon bagi DUN Sungai Kandis, yang sebelum ini disandang Zawawi Mughni dari PKR.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here