SPRM buru ejen minta rasuah RM18,000 di KLIA

0
170

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengenal pasti individu yang dipercayai menjadi ejen membawa masuk warga China semasa insiden kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau tidak menolak ejen yang meminta suapan sebanyak RM18,000 itu masih berada di dalam negara.

Beliau berkata, pihaknya sedang giat memburunya dan suspek juga dipercayai bekerja dengan sebuah syarikat menguruskan kemasukan pelancong yang bertempat dalam premis KLIA.

Beliau berkata, syarikat ejen pelancongan tersebut dipercayai telah beroperasi di dalam premis KLIA sejak 2017 bagi menguruskan tiket kapal terbang dan makan minum kepada kumpulan pelancong yang hadir ke Malaysia.

“SPRM mengesyaki ejen yang menguruskan kemasukan warga China tersebut juga adalah dari negara China kerana menggunakan bahasa mereka sendiri dan berhubung secara WeChat.

“Sehubungan itu, SPRM sedang berusaha keras untuk memburu ejen tersebut yang dipercayai masih berada di dalam negara. Namun pelancong wanita China yang menimbulkan kekecohan semasa ingin masuk ke negara ini telah pulang kembali ke negaranya bersama seorang rakan senegara,” katanya lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM 2023 dan majlis pelancaran aplikasi TikTok SPRM, di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Azam berkata, SPRM tidak mempunyai kuasa untuk menahan kepulangan pelancong wanita China tersebut ke negaranya kerana dia bukan suspek untuk kes yang berlaku.

Namun begitu kata beliau, wanita China itu telah diambil keterangan sebagai saksi berhubung kejadian tersebut sebelum berlepas pulang.

Menurut beliau, selain wanita itu yang dipercayai mahu masuk ke negara ini sebagai pelancong, sekurang-kurangnya 14 orang termasuk seorang menteri telah diambil keterangan oleh SPRM.

Selain itu tegas beliau, SPRM akan meneliti semua prosedur dan tatacara daripada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berhubung kelulusan masuk ke Malaysia.

Jelas beliau, semua perkara perlu diambil kira dan disiasat berhubung insiden yang berlaku di KLIA itu.

“SPRM juga akan menyiasat syarikat ejen pelancongan yang beroperasi di dalam premis KLIA. Kita tidak boleh membuat andaian terlalu awal berhubung kejadian ini kerana SPRM perlu melakukan siasatan secara adil dan profesional. Selain isu governance, SPRM juga perlu melihat jika terdapat pelanggaran peraturan atau tidak semasa insiden tersebut,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here