Bekas pegawai KBS didapati bersalah tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

0
232

BEKAS Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Otman Arsahd hari ini didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu serta 64 tuduhan pengubahan wang haram, sejak 2012.

Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Otman, 64, di akhir kes pembelaan.

Pada 31 Mac 2016, Otman didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta di Pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini antara 28 Feb 2012 hingga 18 Nov 2015.

Bagi 17 kesalahan membabitkan tuntutan palsu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala 15 lagi pertuduhan salah guna kedudukan dibuat mengikut Seksyen 23(1) akta sama.

Pada 21 April 2016, Otman didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad menerusi cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Dis 2015.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya; Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kini sedang mendengar hujahan pendakwaan dan pembelaan sebelum menjatuhkan hukuman.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here