‘Orang politik’ kini ada PhD, boleh ketuai GLC jika layak, kata pemimpin Bersatu

0
153

SEORANG pemimpin Bersatu mempertahankan perancangan Perikatan Nasional (PN) untuk meneruskan pelantikan orang politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan syarat individu itu berkelayakan.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Razali Idris berkata tidak salah melantik seseorang ahli politik mengetuai GLC sekiranya perniagaan atau urusannya berkaitan dengan kepakaran dimiliki individu terbabit.

“Orang politik dahulu tidak sama macam masa kini, tidak kira sama ada dalam parti atau tidak… jika layak boleh pegang jawatan dalam GLC.

“Sekarang kebanyakan berkelulusan doktor falsafah (PhD), ada (profesional) doktor dan jurutera,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, ia berbeza dengan amalan kerajaan perpaduan yang melantik orang politik tidak berkelayakan dalam GLC dan memungkiri manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 berhubung perkara itu.

Beliau mengulas kritikan Pengerusi Bersih Thomas Fann terhadap kenyataan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa komponen itu telah selesai mengagih jawatan termasuk ketua GLC jika menang PRN di enam negeri.

Fann mengingatkan Muhyiddin bahawa syarikat GLC bukan “mesin pengeluaran wang (ATM)” bagi membayar gaji penyokong setianya.

Pada Mac, Fann turut membidas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meneruskan amalan melantik pemimpin politik untuk mengetuai GLC di sebalik desakan Presiden PKR itu bagi melaksanakan reformasi sejak dua dekad lalu.

Setiausaha Agung UMNO,Datuk Asyraf Wajdi Dusuki (pengerusi Mara) dan Ahli Parlimen Balik Pulau Bakhtiar Wan Chik daripada PKR (pengerusi MyCreative Ventures Sdn Bhd) antara pemimpin politik mengetuai GLC.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here